KLCI cuba ‘mendaki’ selepas OPR kekal | DagangNews Skip to main content

KLCI cuba ‘mendaki’ selepas OPR kekal

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) menyuntik pasaran saham tempatan untuk didagangkan lebih tinggi. 

 

Ketika dagangan dibuka pada 9 pagi ini, indeks pasaran saham di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 6.89 mata kepada 1,608.43, daripada paras yang dibuka semalam, 1,601.54. 

 

Selepas lima minit dagangan di Bursa Malaysia, FBM KLCI berjaya mencecah paras 1,611.66, menjadikan jumlah peningkatan lebih 10 mata. 

 

Menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI merosot ketika BNM mengekalkan OPR.

 

"Indeks ini menyaksikan penjualan lewat untuk ditutup tepat di atas paras 1,600 tetapi kami menjangkakan ia akan pulih hari ini dengan 1,615 sebagai paras rintangan segera.

 

“Berita bahawa Genting Berhad akan menutup operasi resortnya sekali lagi mungkin akan melihat beberapa kelemahan harga saham dan kami akan membeli sekiranya saham Genting Malaysia Berhad merosot di bawah paras RM2.20,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

 

Lewat petang semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di BNM membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada kadar 1.75%. 

 

Baca : OPR dikekalkan 1.75% - Bank Negara 

 

Menurut BNM dalam sebuah kenyataan semalam, peningkatan semula kes COVID-19 dan pengenalan langkah pembendungan bersasar telah mempengaruhi momentum pemulihan dalam suku keempat 2020. 

 

Sehubungan itu, bank pusat itu berkata, pertumbuhan bagi 2020 dijangka berada angka bawahan dalam julat unjuran awal. 

 

Dalam pada itu, di peringkat global, keuntungan syarikat yang lebih kukuh dengan Joe Biden sah sebagai Presiden baharu di Amerika Syarikat (AS) memberi harapan kepada pelabur sekali gus mendorong Wall Street untuk mencecah paras tertinggi baharu. 

 

“DJI Average melonjak hampir 260 mata untuk ditutup menghampiri paras 31,200 dengan kedua-dua S&P dan Nasdaq ditutup pada paras tinggi. 

 

“Kami menjangkakan pasaran serantau akan didagangkan lebih tinggi hari ini memandangkan pelabur menjangkakan Biden akan menambah baik hubungan AS dan China,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com