Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Mac - Pasaran saham tempatan cuba ‘mendaki’ semula pada dagangan awal pagi ini selepas ditutup lemah semalam akibat aktiviti pengambilan untung.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI berjaya menokok 1.18 mata daripada paras yang ditutup pada petang semalam, 1,629.41 kepada 1,630.59.
Dagangan pagi ini menyaksikan sebanyak 444 kaunter untung mengatasi 104 kaunter rugi didorong oleh saham sektor tenaga dan teknologi.
Antara saham-saham yang melonjak termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, Unisem (M) Berhad, Press Metal Aluminium Holdings Berhad, Petronas Gas Berhad,ViTrox Corporation Berhad, MISC Berhad, Greatech Technology Berhad, UWC Berhad, Ipmuda Berhad dan Solarvest Holdings Berhad.
Mengulas mengenai prestasi FBM KLCI semalam, Rakuten Trade Research turut terkejut dengan penyusutan indeks tersebut disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan pemburuan saham murah akan kembali hari ini seterusnya indeks penanda aras itu dijangka berbalik daripada kerugian semalam dan didagangkan sekitar paras 1,635/40 .
“Sementara itu, mentah Brent sekali lagi ditutup pada paras AS$70 setong sementara minyak mentah sawit (MSM) kekal kukuh melebihi paras RM4,000 setiap tan metrik,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, Rakuten Trade berkata, ekuiti Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan paras tertinggi memandangkan Joe Biden telah menandatangani pakej rangsangan sebanyak AS$1.9 trilion.
“Dengan sentimen mencanak tinggi, Dow Jones Industrial Average melonjak 190 mata untuk menghampiri paras 32,500.
“Oleh itu, kami percaya pasaran serantau akan meneruskan prestasi positif mereka seperti semalam,” tambah Rakuten Trade.
Sementara itu, menurut Reuters, saham-saham Asia bersedia untuk permulaan kukuh pada hari ini diikuti oleh lonjakan semalaman dari Wall Street dan Eropah.
Ini susulan kemerosotan dalam kadar hasil bon mengurangkan kebimbangan terhadap inflasi sekali gus mengembalikan minat membeli saham-saham teknologi murah.
Niaga hadapan Nikkei 225 di Jepun menokok 0.62% dan indeks niaga hadapan Hang Seng di Hong Kong pula melonjak 0.55%.
Dalam pada itu, niaga hadapan E-mini bagi S&P 500 pula meningkat 0.99% dengan niaga hadapan S&P/ASX 200 di Australia melonjak 0.55% pada awal dagangan. - DagangNews.com