KLCI dibuka rendah susulan saham AS susut | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka rendah susulan saham AS susut

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pasaran saham Malaysia dibuka lebih rendah ekoran Wall Street menyaksikan penurunan semalaman susulan kebimbangan terhadap pelaksanaan perintah berkurung yang lebih ketat di negara itu. 

Dalam masa sama, para pelabur masih menunggu jangkaan masa untuk kegunaan vaksin yang didakwa berkesan itu secara meluas selain sentimen negatif terus dipengaruhi oleh kes COVID-19 yang kian meningkat, kata CGS-CIMB Research. 

Setakat 9.03 pagi, KLCI mencecah paras 1,582.50 merudum sebanyak 8.28 mata atau 0.52% daripada paras yang ditutup semalam, 1,590.78.

Rakuten Trade Research menjangkakan tumpuan pelabur ke arah saham-saham sarung tangan dengan syarikat yang menceburi pasaran sarung tangan dan penjagaan kesihatan serta peralatan perlindungan diri akan berterusan. 

“Kenaikan harga menyaksikan KLCI ditutup pada paras 1,600 dan kami melihat aliran masuk asing yang jarang berlaku ke dalam pasaran Malaysia dengan jumlah dagangan melonjak sekali lagi.

“Melihatkan harga minyak sawit mentah terus mencecah paras lapan tahun tertinggi, saham perladangan bakal menyaksikan minat pembelian yang berterusan,” kata Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

Di pasaran AS, pakej rangsangan dijangka tertangguh dengan peralihan antara presiden negara itu masih lagi berjalan. 

Disebabkan itu, pasaran serantau didagangkan berhati-hati dipengaruhi kemerosotan semalaman Wall Street, bagaimanapun niaga hadapan AS yang marginnya lebih tinggi dijangka dapat menyokong sentimen pasaran hari ini. 

Menurut Bloomberg, saham di Jepun dan Australia merudum, manakala Korea Selatan kekal stabil. 

Niaga hadapan S&P 500 sedikit berubah selepas indeks penanda aras jatuh 1% memandangkan bandar New York bersedia dengan kemungkinan sekolah ditutup.

Pada minggu ini, pasaran saham global menyaksikan lonjakan tinggi selepas para pelabur mempertaruhkan vaksin COVID-19 oleh Pfizer bakal mendorong pemulihan sempadan ekonomi dan merancakkan kitaran perniagaan yang sensitif serta sektor yang terjejas lain. - DagangNews.com