Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 April - Pasaran saham tempatan dibuka lebih rendah daripada paras yang ditutup pada minggu lalu, ekoran para pelabur masih lagi dalam mod berhati-hati.
Ketika dibuka pada 9 pagi ini, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 0.46 mata kepada 1,584.89.
Namun, setelah tiga minit didagangkan, indeks itu melonjak semula sebanyak 3.58 mata atau 0.23% daripada paras yang ditutup pada minggu lalu, 1,585.35 kepada 1,588.93.
Prestasi pagi ini juga positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi, masing-masing pada kadar 262 berbanding 69.
Antara saham yang melonjak pada pagi ini termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad, SHH Resources Holdings Berhad, Gamuda Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Greatech Technology Berhad, Frontken Corporation Berhad, Genetec Technology Berhad, Unisem (M) Berhad dan UWC Berhad.
Rakuten Trade Research menjangkakan pasaran ekuiti tempatan akan meneruskan mod berhati-hati dengan para pelabur mungkin memburu saham murah.
“Di peringkat tempatan, kami menjangkakan aktiviti pemburuan saham murah akan diteruskan dalam keadaan berhati-hati, oleh itu indeks berkenaan dijangka berlegar dalam jajaran 1,585/90 hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini.
Di peringkat global, Wall Street ditutup lebih tinggi apabila data pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) melonjakkan indeks tersebut.
Jelas Rakuten Trade, kadar pengangguran AS menyusut kepada 6% daripada 6.2% pada bulan lalu, sekali gus mendorong niaga hadapan Dow Jones Industrial Average menokok 160 mata lebih tinggi.
“Sementara itu, kadar hasil perbendaharaan AS 10 tahun juga berakhir lebih tinggi kepada 1.71% memandangkan ekonomi AS berterusan bertambah baik.
“Oleh itu, kami menjangkakan ketidaktentuan pasaran mungkin meningkat.
“Walaupun terdapat beberapa pasaran serantau yang ditutup hari ini, namun prestasinya mungkin bercampur-campur,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com