KLCI dibuka tinggi, berjaya cecah 1,590 | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi, berjaya cecah 1,590

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Pasaran saham tempatan berjaya ‘keluar’ daripada dagangan dalam jajaran yang terhad pada sesi semalam sekali gus berjaya dibuka lebih tinggi hari ini.

 

Ketika dibuka pada 9 pagi ini, FBM KLCI menokok 0.81 mata kepada 1,586.94 daripada paras yang ditutup semalam, 1,586.13 walaupun pasaran saham serantau sedikit merosot.

 

Namun, indeks penanda aras itu bergerak dan berjaya ‘menyentuh’ paras 1,591.44 selepas 8 minit didagangkan. 

 

Para pelabur ketika ini sedang menunggu prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2020 (4Q20) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan dikeluarkan esok. 

 

Menurut Rakuten Trade Research, pasaran ekuiti tempatan dijangka terus menyaksikan momentum pembelian selepas berjaya melepasi julat dagangan yang terhad semalam. 

 

“Oleh itu, kita mungkin melihat FBM KLCI menguji 1,590 sekitar paras 1,595 hari ini walaupun terdapat ketidaktentuan memandangkan sentimen terhadap kaunter sarung tangan masih rapuh. 

 

“Sementara itu, harga minyak mentah terus mengukuh dengan mentah Brent kini melepasi paras AS$60, berlegar pada AS$61.10 setong ketika ini. 

 

“Bagi tahun 2021, kami menjangkakan minyak mentah Brent akan menyentuh paras AS$65 setong,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Wall Street ‘menarik nafas’ selepas beberapa kali memecah rekod tertinggi susulan realiti terhadap penilaian merosot.

 

Jelas Rakuten Trade, kedua-dua Dow Jones Industrial Average dan S&P 500 ditutup sedikit rendah sementara Nasdaq masih kekal dalam dagangan positif. - DagangNews.com