Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Pasaran saham Malaysia mengekalkan momentum lonjakan daripada paras yang ditutup semalam walaupun dibuka lebih rendah pada awal dagangan bulan Disember.
Setakat 9 pagi, KLCI menokok 2.23 mata atau 0.14% mencecah 1,604.49 daripada paras yang ditutup semalam, 1,602.26.
KLCI yang melepasi paras 1,600 mungkin didorong oleh sentimen positif di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang sekali gus mempengaruhi pergerakan menaik di ekuiti-ekuiti Asia.
Di Wall Street, para pelabur melihat perkembangan positif rang undang-undang pakej rangsangan di AS sebagai sebuah sentimen mempengaruhi keputusan pelaburan mereka.
Malah, indeks-indeks utama di AS mencecah rekod tertinggi sebelum para pelabur mengaut keuntungan.
Oleh itu, Rakuten Trade Research menjangkakan pasaran serantau akan berterusan menokok, ‘menyambung’ prestasi kukuh semalam.
“Secara domestik, FBM KLCI dijangka mencecah 1,610 hari ini dengan dana-dana beralih kepada pembelian yang meluas.
“Sementara itu, bulan November memecah rekod bagi harga minyak sawit mentah pada tahun ini memandangkan harganya masih mengukuh melebihi RM3,400 setiap tan metrik,” jelas Rakuten Trade.
Setelah sentimen perkembangan vaksin COVID-19 dan juga Belanjawan 2021 yang beransur pudar, para pelabur kembali kepada pengaruh asas, iaitu prestasi pasaran saham AS. - DagangNews.com