KLCI dibuka tinggi naik 0.26% | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi naik 0.26%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 6 Okt. - Bursa Malaysia dibuka tinggi dengan pasaran saham Asia lain turut menunjukkan trend yang sama. 

Setakat 9.02 pagi, KLCI mencecah paras 1,516.35, meningkat sebanyak 3.92 mata atau 0.26%.

Rakuten Trade Research berkata, indeks itu dijangka menguji paras 1,520 atau 1,530 hari ini berdasarkan trend pembelian lewat oleh para pelabur semalam. 

Sementara itu, setelah penggabungan yang berpanjangan di antara saham-saham rendah, kami mengesan kecairan kembali pada saham-saham ini, oleh itu kami menasihatkan pelabur untuk memanfaatkan paras rendah yang dicatatkan,” kata Rakuten Trade.

Sementara itu, kebanyakan saham Asia mengikuti trend menaik pasaran saham Amerika Syarikat (AS) selepas Presidennya, Donald Trump diberi pelepasan untuk pulang dari hospital.

Sentimen itu disokong oleh pembuat perundangan memberikan gambaran positif terhadap pakej rangsangan. 

Menurut Bloomberg, saham Jepun dan Korea Selatan meraih keuntungan sederhana dengan kontrak S&P 500 sedikit berubah selepas saham AS ditutup pada paras tertinggi dengan sektor tenaga, penjagaan kesihatan dan teknologi merupakan kaunter keuntungan besar. 

Niaga hadapan Nasdaq pula tidak menentu selepas panel Dewan AS dilaporkan mencadangkan pembaharuan menyeluruh dalam sektor teknologi. 

Hasil khazanah mengekalkan peningkatan semalam setelah melonjak ketika peniaga menyesuaikan pertaruhan pilihan raya mereka mengikut jumlah undian terbaharu Joe Biden.

Bagaimanapun, saham Australia menyusut menjelang pengumuman bajet dan keputusan kadar bank pusatnya. 

"Para pelabur cenderung memegang idea bahawa data baru-baru ini dan pengalaman secara langsung Trump terhadap virus COVID-19 meningkatkan kemungkinan pakej fiskal lain,” kata Pengarah Strategi Portfolio di EP Wealth Advisors, Adam Philips. - DagangNews.com