Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Mac - Pasaran saham tempatan meneruskan momentum peningkatan hari ini seiring pasaran ekuiti di Amerika Syarikat (AS) yang turut menonjolkan prestasi serupa.
Ketika dibuka pada 9 pagi ini, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 1.21 mata daripada paras yang ditutup pada petang semalam, 1,624.97 kepada 1,626.18.
Namun, setelah tujuh minit didagangkan, FBM KLCI terus melonjak kepada 1,629.59 sekali gus menjadikan jumlah peningkatan keseluruhan sebanyak 4.62 mata atau 0.28%.
Dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 357 kaunter untung mengatasi 127 kaunter rugi.
Antara saham yang melonjak awal adalah Cycle & Carriage Bintang Berhad, Hong Leong Industries Berhad, Time Dotcom Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, Atlan Holdings Berhad, Telekom Malaysia Berhad, ViTrox Corporation Berhad, Euro Holdings Berhad, Genting Berhad dan Unisem (M) Berhad.
Sementara itu, Rakuten Trade Research mendapati FBM KLCI masih ‘tersekat’ dalam jajaran yang terhad walaupun terdapat aktiviti pembelian lewat semalam.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks berkenaan akan sekali lagi didagangkan dalam julat kecil antara 1,625/30, hari ini.
“Bagaimanapun, pasaran yang lebih luas cukup positif dengan aktiviti perdagangan yang berpusat terutama pada permodalan lebih kecil kerana jumlah pasaran telah meningkat pada sepanjang minggu lalu,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, ekuiti-ekuiti AS melonjak semula susulan RIzab Persekutuan menyatakan bahawa tiada lonjakan mendadak dalam kadar faedah bagi tempoh dua tahun akan datang.
Kata Rakuten Trade, tiga indeks utama ditutup positif selepas menyusut pada awalnya dengan Dow Jones Industrial Average ditutup pada rekod tertinggi melebihi paras 33,000.
“Di pasaran serantau, kita mungkin akan menyaksikan prestasi lebih kukuh selepas dagangan ditutup agak bercampur-campur semalam,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com