KLCI dibuka tinggi tapi ‘tersadung’ selepas 4 minit | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi tapi ‘tersadung’ selepas 4 minit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Pasaran saham di Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada awal dagangan pagi ini menjelang keputusan kadar dasar semalaman (OPR) ketika ekuiti-ekuiti di Asia menyusut. 

 

Setakat 9 pagi, indeks penanda aras, FBM KLCI menokok 0.44 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,588.45 kepada 1,588.89. 

 

Bagaimanapun, indeks itu menyusut lebih rendah selepas empat minit didagangkan kepada paras 1,584.65, menjadikan mata yang merosot secara keseluruhannya sebanyak 3.80. 

 

Dagangan awal pagi ini menyaksikan sebanyak 210 kaunter untung mengatasi 207 kaunter rugi. 

 

Antara saham yang melonjak termasuk Yinson Holdings Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, Hong Leong Financial Group Berhad, Dataprep Holdings Berhad,Rapid Synergy Berhad, Bursa Malaysia Berhad, Hengyuan Refining Company Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad,  Pecca Group Berhad dan MSM Malaysia Holdings Berhad. 

 

Hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadualkan mengadakan mesyuarat dan antara perkara yang menjadi tumpuan adalah keputusan OPR, sama ada akan dikekalkan atau diturunkan lagi. 

 

Dalam pada itu, Rakuten Trade Research percaya bursa tempatan akan menjadi tidak menentu kerana sentimen kabur hari ini. 

 

“Di pasaran domestik, FBM KLCI hampir mencecah paras 1,590 semalam daripada aktiviti pemburuan saham sarung tangan murah.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks berkenaan akan didagangkan dalam julat terhad antara 1,585/90 dengan saham-saham sarung tangan tergantung selepas prestasi memberangsangkan semalam,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.

 

Di peringkat Asia, kadar hasil perbendaharaan yang lebih tinggi menyebabkan saham-saham di rantau itu berprestasi rendah, menurut Reuters. 

 

Ini susulan pelabur bersikap berhati-hati, berdasarkan penjualan bon kerajaan pada minggu lalu yang menyebabkan kadar hasil meningkat, menakutkan pasaran ekuiti dan menyebabkan saham jatuh.

 

Saham Australia hilang 1% dan niaga hadapan E-mini menyusut 0.25%. 

 

Sementara itu, saham-saham Amerika Syarikat (AS) jatuh semalaman memandangkan pelabur menjual ekuiti teknologi dan mengalihkan tumpuan mereka terhadap sektor-sektor yang akan menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi. 

 

Tumpuan pelabur pada pemulihan ekonomi tidak terganggu oleh data yang dikeluarkan semalam di mana menunjukkan pasaran buruh AS merosot pada bulan Februari, ketika gaji swasta meningkat kurang daripada yang dijangkakan. - DagangNews.com