Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Pasaran saham Malaysia ditutup lebih tinggi memandangkan para pelabur sedang menantikan keputusan pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS).
Setakat 5 petang, KLCI menokok 3.16 mata atau 0.22%, ditutup pada paras 1,464.61.
Menurut Trading Economics, niaga hadapan di Dow Jones dan S&P 500 melonjak semula ketika sesi dagangan yang tidak menentu hari ini dengan Nasdaq meningkat hampir 3%.
“Tiada pemenang yang tetap memandangkan undian terus dikira dan mengambil lebih masa di kebanyakan negeri.
“Setakat ini, keputusan menunjukkan kutipan undian tipis antara Donald Trump dan Joe Biden walaupun Demokrat telah meraih sehingga 227 undian, manakala Trump mengutip 213 undian dan memenangi Florida,” kata Trading Economics.
Sebelum itu, pasaran saham turut memerhati beberapa persaingan di Senat utama yang mungkin dapat menyumbang kemenangan Demokrat.
Ketika laporan ditulis, undian pilihan raya presiden Biden telah mencecah angka 238 dan Trump kekal 213. - DagangNews.com