KLCI jatuh lagi, penganalisis saran beli saham lemah | DagangNews Skip to main content

KLCI jatuh lagi, penganalisis saran beli saham lemah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]


 

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pasaran saham di Bursa Malaysia terus merosot dengan kehilangan kira-kira 50 mata daripada paras yang didagangkan pada minggu lalu. 


 

Ketika dibuka pada 9 pagi, FBM KLCI menyusut 2.83 mata atau 0.17% mencecah 1,631.55 daripada paras yang ditutup semalam, 1,631.92.


 

Indeks penanda aras saham tempatan itu terus menyusut ke paras 1,629.09 setelah tiga minit dagangan dibuka setakat 9.03 pagi ini. 


 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI mungkin menguji paras 1,620 hari ini.


 

“Indeks penanda aras itu mungkin patah balik aliran penurunannya setelah kehilangan sekitar 50 mata sepanjang minggu lalu.

 

 

“Kami terus menasihati pelabur untuk ‘beli’ saham-saham yang lemah kerana kami menjangkakan bursa tempatan akan melonjak semula pada bila-bila masa. 


 

“Sementara itu, berita mengenai pengambilalihan FGV pada kadar RM1.30 sesaham mungkin menyaksikan beberapa aktiviti dagangan,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian hari ini.


 

Aktiviti pengambilan keuntungan berterusan menjejaskan pergerakan FBM KLCI selepas pasaran saham Malaysia melonjak menghampiri paras 1,700 sebelum ini. 


 

Bursa Malaysia mungkin memasuki fasa konsolidasi atau julat dagangan yang terhad menjelang perayaan Krismas dan pada penghujung tahun ini. 


 

Sementara itu,pasaran serantau dijangka tidak menentu hari ini susulan penurunan indeks pasaran saham global berterusan.


 

Wall Street juga turut merosot ekoran kebimbangan terhadap kes baharu COVID-19 dari United Kingdom (UK) dan para pelabur mengambil kesempatan untuk mengunci keuntungan.

 

Susulan itu, DJI Average menyusut 200 mata tetapi masih kekal di atas paras psikologi 30,000. - DagangNews.com