KLCI kekal melepasi paras 1,500 didorong saham global | DagangNews Skip to main content

KLCI kekal melepasi paras 1,500 didorong saham global

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Walaupun pasaran saham Malaysia dibuka lebih rendah hari ini, namun indeks itu kekal melepasi paras 1,500 didorong oleh lonjakan pasaran di seluruh dunia.

Setakat 9.02 pagi, KLCI menurun sedikit, sebanyak 0.65 mata atau 0.04%, mencecah paras 1,500.84.

Menurut Trading Economics, rata-rata saham Asia melonjak lebih tinggi, mengikuti peningkatan semalaman di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memandangkan para pelabur masih bertaruh terhadap pembahagian pemerintahan AS yang bakal memberi impak positif ke atas aktiviti perniagaan. 

Wall Street meneruskan peningkatan saham susulan keputusan pilihan raya presiden AS semakin hampir dengan pasaran meletakkan harapan Joe Biden dari Demokrat akan menang, kata Rakuten Trade Research.

“Niaga hadapan AS juga lebih tinggi hari ini dengan berita Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan kadar dan menekankan lebih banyak sokongan fiskal dan rangsangan yang diperlukan. 

“Pasaran serantau dijangka diteruskan dengan sentimen positif daripada lonjakan pasaran AS semalam. 

“Di pasaran tempatan, dagangan semalam menyaksikan peningkatan tinggi dipengaruhi pembentangan Bajet 2021 dengan KLCI kembali mencecah paras 1,500 dan kami menjangkakan pembelian lewat hari ini,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya. 

Sehubungan itu, para pelabur disarankan untuk mengambil peluang dagangan memandangkan harga minyak sawit mentah melebihi paras RM3,200 di mana saham perladangan mungkin memberi manfaat utama. 

Dalam pada itu, saham berkaitan penjagaan kesihatan dan pelitup muka PPE juga akan menjadi tumpuan susulan banyak kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan jumlah kes COVID-19 kian meningkat. 

Selain pasaran global yang mempengaruhi pergerakan dagangan saham di Malaysia, para pelabur juga meletakkan perhatian terhadap pembentangan Bajet 2021 pada hari ini. 

Sebahagian besar daripada pembentangan Bajet 2021 hari ini dijangka merupakan lanjutan daripada pelbagai langkah rangsangan kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi negara. - DagangNews.com