KLCI kekalkan momentum positif, saham berkaitan Petronas melonjak | DagangNews Skip to main content

KLCI kekalkan momentum positif, saham berkaitan Petronas melonjak

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sentimen positif dilihat terus mempengaruhi bursa tempatan apabila pasaran meneruskan kenaikan untuk hari kelima berturut-turut.

 

Indeks utama FBM KLCI setakat 9.04 pagi ini menokok 8.14 mata atau 0.52% kepada 1,577.94 mata. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, KLCI boleh mencecah paras 1,580 hingga 1,600 mata setelah melepasi rintangan 1,534 mata.

 

"Ini dipacu oleh pembelian dana asing berjumlah RM397 juta dalam tempoh 3 hari dan juga risiko politik yang semakin reda. 

 

"Selain itu, sentimen juga didorong pembukaan semula sektor ekonomi di tengah-tengah kadar vaksinasi yang meningkat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, menurutnya, pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan barisan Kabinet akan menentukan sejauh mana pergerakan KLCI di samping simposium Jackson Hole yang mungkin menjadi petunjuk kepada kenaikan kadar faedah AS.

 

Secara keseluruhan pagi ini menyaksikan untung mengatasi rugi pada 243 berbanding 181 manakala 293 tidak berubah dan 1,535 tidak diniagakan. 

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kaunter berkaitan Petronas mendaki kaunter untung didahului Petronas Chemicals Group Bhd. naik 25 sen kepada RM8.40, Petronas Dagangan Bhd. menokok 16 sen kepada RM19.18 dan MISC Bhd. naik 10 sen kepada RM7.01.

 

Kaunter aktif pula didahului dengan saham Parkson Holdings Bhd. menokok 3 sen atau 15.38% kepada 22.5 sen. 

 

Ini diikuti dengan saham Green Packet Bhd., AYS Ventures Bhd dan Advance Synergy Bhd. yang turut rancak diniagakan. 

 

Saham Nestle Malaysia Bhd. pula mendahului kaunter untung menokok 40 sen kepada RM135.10 diikuti Allianz Malaysia Bhd. meningkat 22 sen kepada RM12.88.

 

Sebaliknya, bagi kaunter rugi, Sam Engineering & Equipment (M) Bhd. susut RM1.68 kepada RM14.44 diikuti Fraser & Neave Holdings Bhd. susut 36 sen kepada RM27.34. - DagangNews.com