KLCI kembali berentak positif, 517 kaunter untung termasuk SAM, F&N, Nestle | DagangNews Skip to main content

KLCI kembali berentak positif, 517 kaunter untung termasuk SAM, F&N, Nestle

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pasaran ekuiti Malaysia hanya 4.13 mata lebih rendah untuk kembali mencecah paras rintangan 1,500 pada penutupan dagangan petang ini. 

 

Setakat 5 petang, indeks utama, FBM KLCI ditutup 4.45 mata lebih tinggi untuk berakhir pada paras 1,495.78 walaupun kebanyakan pasaran ekuiti Asia utama menyaksikan kemerosotan ketika ditutup. 

 

Menurut Trading Economics, pasaran saham di rantau Asia Pasifik didagangkan bercampur-campur hari ini ketika terdapat ketidaktentuan terhadap dasar China ke atas firma-firma teknologinya, selain varian COVID-19 Delta yang kian menular. 

 

Indeks Shanghai Composite dan Hang Seng, masing-masing menyusut 0.3% dan 0.7% dengan Nikkei 225 sebaliknya melonjak 0.5%

 

Di peringkat pasaran tempatan, jumlah kaunter untung iaitu 517 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 435. 

 

Dagangan positif diungguli oleh saham SAM Engineering & Equipment (M) Berhad yang menyaksikan lonjakan besar sebanyak RM1.68 kepada RM12.28. 

 

Mengikut rentak itu adalah saham Fraser & Neave Holdings Berhad yang menokok RM1.06 kepada RM25.50, diikuti oleh saham Nestle (Malaysia) Berhad yang meningkat 90 sen kepada RM133.90. 

 

Turut berakhir di dalam kalangan kaunter untung adalah saham Malaysian Pacific Industries Berhad, Unisem (M) Berhad, Petronas Dagangan Berhad dan Vitrox Corporation Berhad.

 

Dalam makluman Unisem di Bursa Malaysia, kumpulan mengesahkan bahawa kilangnya di Ipoh, Perak akan kembali beroperasi pada hari esok, 6 Ogos 2021 selepas operasi terpaksa ditutup sementara ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

 

Saham Hong Leong Capital Berhad sebaliknya mencatatkan kerugian terbesar apabila harga sahamnya menyusut 21 sen kepada RM5.80. 

 

Turut menerima tempias negatif itu adalah saham Chin Teck Plantations Berhad yang merosot 14 sen kepada RM6.86 dengan disusuli oleh Tenaga Nasional Berhad dan British American Tobacco (Malaysia) Berhad di mana masing-masing menurun 11 sen dan 10 sen. 

 

Dalam kalangan saham paling aktif pula, Vsolar Group Berhad berakhir di kedudukan tertinggi dengan lonjakan harga saham sebanyak 0.05 sen kepada 0.15 sen. 

 

Ini diikuti oleh Fintec Global Berhad, Saudee Group Berhad, Kanger International Berhad, Kejuruteraan Asastera Berhad dan Serba Dinamik Holdings Berhad.

 

Secara keseluruhannya, dagangan hari ini diheret naik oleh, terutamanya kaunter teknologi, Pasaran ACE dan perladangan. - DagangNews.com