KLCI kembali lemah, ringgit melantun | DagangNews Skip to main content

KLCI kembali lemah, ringgit melantun

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Petang ini pasaran tempatan mengakhiri dagangan dengan rendah ekoran aktiviti pengambilan untung yang mengambil petunjuk kenaikan semalaman Wall Street. 

 

Ini mengheret Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.42 mata untuk ditutup kepada 1,629.41 mata setelah berlegar dalam jajaran antara 1,626.23 hingga 1,636.73 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 9.53 bilion bernilai RM5.44 bilion, lebih rendah berbanding 11.01 bilion saham bernilai RM7.2 bilion.

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 759 berbanding 435 manakala 446 kaunter tidak berubah. 

 

Menurut Reuters, kebanyakan pasaran ekuiti Asia menjejaki kenaikan semalaman Wall Street setelah data indeks harga pengguna (CPI) pada Februari meningkat sebanyak 0.4% secara tidak langsung mengurangkan kebimbangan berlakunya inflasi. 

 

Pada masa sama, Kongres turut memberi kelulusan akhir terhadap satu daripada langkah rangsangan ekonomi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS). 

 

Ia juga menyaksikan mata wang Asia baharu muncul mencatatkan peningkatan apabila kebimbangan inflasi semakin berkurangan di samping penurunan hasil perbendaharaan AS menjejaskan dolar AS. 

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.1080/1130 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.1250/1280.

 

Sementara itu, dalam nota kajian, Malacca Securities Sdn. Bhd. menjangkakan minat belian terus ketara di pasaran tempatan dan FBM KLCI mungkin meneruskan aliran peningkatannya susulan prestasi di Wall Street.

 

Menurutnya, susulan kes harian COVID-19 yang kekal di bawah paras 2,000 setakat ini, penggiat pasaran kemungkinan memilih untuk melihat lebih banyak pembukaan semula aktiviti perniagaan termasuk aktiviti pelancongan domestik yang dijangka memacu sektor pelancongan pada masa ini.

 

Bagaimanapun, sektor teknologi dijangka tidak banyak berubah apabila pasaran Nasdaq mengalami penurunan," katanya. 

 

AmBank Research berkata, pandemik COVID-19 sewajarnya membuka mata banyak pihak berkepentingan betapa perlunya bank data pelancongan. 

 

"Ini kerana krisis ini telah memaksa organisasi perniagaan, institusi awam dan lain-lain untuk bekerjasama dalam menentukan pemilihan destinasi sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. 

 

"Malah, kerjasama antara entiti bukan tradisional seperti agensi kesihatan juga amat penting dan ini semuanya memerlukan maklumat berasaskan bukti," katanya. - DagangNews.com