KLCI kembali susut selepas lonjak ke paras tertinggi 2 bulan, F&N, HLFG, PPB paling rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI kembali susut selepas lonjak ke paras tertinggi 2 bulan, F&N, HLFG, PPB paling rugi

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pasaran ekuiti tempatan tidak dapat mempertahankan lonjakan ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan pada penutupan petang semalam, apabila kembali dibuka lebih rendah sedikit, hari ini. 

 

Indeks utama, FBM KLCI memulakan dagangan pada hari terakhir minggu ini dengan 2.84 mata lebih rendah kepada 1,582.90 daripada paras penutupan petang semalam, 1,585.74. 

 

Firma penyelidikan, Rakuten Trade Research tidak menolak kemungkinan bahawa para pelabur akan mengambil keuntungan, seterusnya menyukarkan indeks utama untuk melonjak melepasi paras 1,600.

 

“Di peringkat pasaran tempatan, FBM KLCI mengekalkan prestasi memberangsangkan memandangkan dana asing terus membeli saham-saham di bursa tempatan. Indeks penanda aras itu telah melompat lebih daripada 6% kepada rekod dua bulan tertinggi. 

 

“Walaupun kita mungkin menyaksikan aktiviti pengambilan untung untuk seketika, namun kami menjangkakan bursa tempatan akan mengekalkan fasa meningkat dalam jangka masa sederhana ini. 

 

“Buat hari ini, kami meramalkan indeks itu akan meningkat dan mungkin menguji paras 1,600 ketika pengumuman barisan kabinet dijangka dibuat hari ini. Namun, kami masih percaya aktiviti pengambilan untung akan muncul, seterusnya mengunjurkan indeks itu didagangkan dalam julat 1,585 hingga 1,595, hari ini,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Pagi ini, pergerakan menurun yang ditonjolkan FBM KLCI dipengaruhi oleh kaunter perkhidmatan kewangan, produk pengguna, dan pembinaan. 

 

Secara keseluruhannya, dagangan beraksi agak negatif apabila jumlah kaunter rugi mengatasi jumlah kaunter untung, dengan perbandingan 143 daripada 135, manakala 235 kaunter tidak berubah dan 1746 tidak didagangkan. 

 

Kaunter paling rugi menyaksikan saham Fraser & Neave Holdings Berhad dibuka lemah apabila menyusut 38 sen kepada RM27.30. 

 

Ini diikuti oleh saham Hong Leong Financial Group Berhad yang dibuka 26 sen lebih rendah kepada RM17.88 serta PPB Group Berhad yang memulakan dagangan 20 sen lebih rendah kepada RM18.36. 

 

Saham Dutch Lady Milk Industries Berhad sebaliknya mengungguli kaunter paling untung pagi ini, melonjak 54 sen kepada RM33.30 setakat 9.19 pagi. 

 

Turut merasai impak positif itu adalah saham DKSH Holdings (Malaysia) Berhad yang dibuka 14 sen lebih tinggi kepada RM3.40. 

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan pula, saham Avillion Berhad menokok 1 sen kepada 13.5 sen setakat 9.21 pagi. 


Ini diikuti oleh saham TFP Solutions Berhad, KNM Group Berhad, BCM Alliance Berhad, dan Focus Dynamics Group Berhad. - DagangNews.com