KLCI ‘lemah’ pagi ini dipengaruhi faktor politik | DagangNews Skip to main content

KLCI ‘lemah’ pagi ini dipengaruhi faktor politik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Keadaan politik semasa nampaknya mendatangkan pengaruh yang lebih besar ke atas pasaran tempatan sehingga tidak mampu melonjak untuk melepasi paras rintangan, 1,600. 

 

Menanti perkembangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), dijangka berlangsung pada hujung minggu ini, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI hanya mampu menokok 1.01 mata ketika dibuka pada 9 pagi, kepada 1,598.74

 

Namun, indeks itu menyusut semula kepada 1,596.33 setelah lapan minit didagangkan, menjadikan jumlah penurunan keseluruhan sebanyak 1.40 mata daripada paras yang ditutup pada petang semalam, 1,597.73. 

 

FBM KLCI menyaksikan sebanyak 236 kaunter untung mengatasi 196 kaunter rugi. 

 

Kaunter-kaunter untung didahului oleh, antaranya, ViTrox Corporation Berhad, Gamuda Berhad, KESM Industries Berhad, BLD Plantation Berhad, Kluang Rubber Company (Malaya) Berhad, Analabs Resources Berhad, Hong Leong Bank Berhad, HPMT Holdings Berhad, KPS Consortium Berhad dan Harrisons Holdings Malaysia Berhad.

 

Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI sekali lagi akan diniagakan dalam julat terhad hari ini. 

 

“Di pasaran tempatan, FBM KLCI mungkin akan menyaksikan dagangan terhad dan berlegar dalam julat kecil antara 1,595 dan 1,605 pada hari ini memandangkan pelabur akan memerhati perkembangan PAU pada hujung minggu ini. 

 

“Perkara positifnya, kami melihat terhadap beberapa pengumpulan dana asing semalam,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Di peringkat antarabangsa, Wall Street sekali lagi menyaksikan sesi yang tidak menentu dengan tiga indeks utamanya ditutup lebih tinggi susulan pembukaan yang lemah. 

 

Kata Rakuten Trade, ekuiti-ekuiti di Amerika Syarikat (AS) ‘berdiri’ antara pemulihan ekonomi dan juga kehilangan rangsangan. 

 

Oleh itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan sesi di pasaran itu akan terus tidak menentu. 

 

“Dow Jones Industrial Average menokok 199 mata untuk melepasi paras 32,600, peralihan hampir 500 mata selepas pernah kehilangan 350 mata. 

 

“Walaupun kami menjangkakan pasaran serantau akan tidak menentu, namun, kami melihat beberapa dana asing memasuki pasaran Asia, oleh itu, kebanyakannya dijangka ditutup lebih kukuh hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com