Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Mei - Pasaran saham tempatan memulakan dagangan pada hari pertama bagi bulan Mei 2021 dengan sedikit lonjakan sementara para pelabur masih tercari-cari pemangkin pembelian.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 0.44 mata daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,601.65 kepada 1,602.09.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan meneruskan dagangan dalam had terhad sekali gus mengunjurkannya berlegar sekitar 1,600 hingga 1,610.
“Melihat kepada aliran dana yang berterusan dari pelabur runcit, kami percaya penyertaan runcit akan bertambah baik sekali gus syarikat permodalan kecil bakal meneruskan dagangan kitaran (rotational play) mereka,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat antarabangsa, Wall Street mereda sementara ketika para pelabur membuat keputusan untuk mengunci keuntungan mereka, selepas berprestasi kukuh pada bulan lalu.
“Dow Jones Industrial Average kehilangan 185 mata untuk ditutup bawah 34,000 sementara Nasdaq menyusut 120 mata untuk berakhir di bawah 14,000.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan kekal lemah hari ini kerana kekurangan pemangkin baharu,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com