KLCI melonjak 16 mata pada penutupan petang ini, 509 kaunter untung | DagangNews Skip to main content

KLCI melonjak 16 mata pada penutupan petang ini, 509 kaunter untung

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Data ekonomi yang lebih baik selain prestasi kewangan kukuh oleh syarikat tersenarai telah memberi suntikan positif kepada pasaran tempatan untuk ditutup lebih tinggi.

 

Petang ini, indeks utama, FBM KLCI berakhir 16.43 mata lebih tinggi kepada 1,569.80 daripada paras penutupan petang semalam, 1,553.37. 

 

Lonjakan itu diheret naik oleh saham-saham dalam sektor produk perindustrian, tenaga serta indeks hijrah dan minyak kelapa sawit. 

 

Bagaimanapun, jumlah kaunter rugi berjaya mengatasi kaunter untung, dengan perbandingan 532 daripada 509, manakala, 469 kaunter tidak berubah dan 741 lagi tidak didagangkan. 

 

Seperti diramalkan Rakuten Trade Research, keadaan politik yang kian mereda dan lebih banyak ekonomi dibuka telah memacu peningkatan bursa tempatan untuk mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua bulan. 

 

Di peringkat pasaran Asia, kebanyakan bursa didagangkan bercampur-campur memandangkan para pelabur menunggu ucapan utama Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika (AS) berhubung dasar monetari di negara itu. 

 

Beralih ke kaunter paling untung di FBM KLCI, Nestle (Malaysia) Berhad terus mengekalkan kedudukannya untuk mencatatkan lonjakan tertinggi apabila berakhir 80 sen lebih tinggi kepada RM134.70. 

 

Nestle yang memulakan dagangan di kaunter rugi pada awal pagi ini menyaksikan sebanyak RM8.54 juta nilai saham yang bertukar tangan. 

 

Ini diikuti oleh saham Kuala Lumpur Kepong Berhad yang berakhir 40 sen lebih tinggi kepada RM20.90 dan Tenaga Nasional Berhad yang ditutup 31 sen lebih tinggi kepada RM10.28.

 

Saham KESM Industries Berhad sebaliknya terpelosot ke kaunter paling rugi apabila berakhir 64 sen lebih rendah kepada RM12.82 dengan RM284,658 nilai saham yang bertukar tangan. 

 

Turut merasai impak negatif itu adalah saham Genetec Technology Berhad yang menyusut 62 sen kepada RM27.18 pada penutupan petang ini. 

 

Dalam kalangan kaunter paling aktif, saham Kanger International Berhad ditutup tidak berubah pada kadar 60 sen dengan lebih 3 juta dagangan saham bertukar tangan. 

 

Selain Kanger, saham MMAG Holdings Berhad, Focus Dynamics Group Berhad, Avillion Berhad, Sapura Energy Berhad, D'nonce Technology Berhad dan Serba Dinamik Holdings Berhad antara yang rancak diniagakan lewat petang ini. - DagangNews.com