KLCI merosot bawah paras 1,650 | DagangNews Skip to main content

KLCI merosot bawah paras 1,650

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Penjualan singkat terus menjejaskan pergerakan pasaran saham tempatan apabila indeks itu kini merosot di bawah paras 1,650. 

 

FBM KLCI jatuh 1.09 mata mencecah 1,646.80 apabila dibuka hari ini, daripada paras 1,647.89 yang ditutup semalam. 

 

Prestasi indeks itu terus menjunam sehingga 14.46 mata setakat 9.13 pagi, mencecah paras 1,633.43. 

 

Menjelang perayaan Krismas pada Jumaat ini, para pelabur cenderung untuk mengambil keuntungan dengan penjualan singkat. 

 

Penganalisis menjangkakan sentimen ini akan berlegar sementara sahaja menjelang perayaan itu, dan aktiviti dagangan dijangka berlaku seperti biasa selepas itu. 

 

Menurut Reuters, saham-saham Asia dibuka lemah, manakala harga minyak jatuh. 

 

Ini didorong oleh kebimbangan para pelabur terhadap jangkitan COVID-19 yang kian meningkat di mana mungkin membawa kepada perintah berkurung di Britain sekali gus melambatkan pemulihan ekonomi.

 

Saham Australia merosot 0.54% pada awal dagangan dengan Jepun merudum 0.58%.

 

Niaga hadapan S&P 500 merosot 0.05% selepas hampir semua saham-saham di Amerika Syarikat (AS) pulih daripada penurunan yang tinggi.

 

Penganalisis pasaran di IG Markets, Kyle Rodda berkata,  persoalannya sekarang ialah adakah kestabilan yang dilihat pada sesi dagangan di pasaran AS semasa akan berterusan ke Asia.

 

“Apa yang kami rasakan di pasaran secara lebih luas adalah apakah penurunan harga yang kami lihat walaupun dalam perdagangan Eropah mencerminkan penurunan pasaran yang lebih luas.

 

“Adakah ini adalah tanda-tanda yang akan datang, atau sama ada hanya kejutan jangka pendek kepada sistem terhadap perkembangan di UK, jangkitan virus baharu,” katanya.

 

Kebanyakan negara di seluruh dunia menutup sempadan daripada Britain selepas mencatatkan kes COVID-19 baharu, dilaporkan sehingga 70% lebih mudah dijangkiti daripada sebelum ini.

 

Ini telah menjejaskan sektor perjalanan dan meningkatkan prospek kekurangan makanan beberapa hari sebelum Britain bersedia untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). - DagangNews.com