KLCI : Mr D.I.Y bakal ganti Supermax?  | DagangNews Skip to main content

KLCI : Mr D.I.Y bakal ganti Supermax? 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Mr D.I.Y. Group (M) yang mendaki ke tangga 20 dalam kedudukan komponen utama FBM KLCI dijangka menggantikan Supermax Corp. dalam semakan KLCI akan datang.

 

Pada kedudukan itu, syarikat kelengkapan isi rumah itu mempunyai pasaran modal berjumlah RM24 bilion manakala Supermax di tangga ke-33 dengan pasaran modal RM12.46 bilion.

 

Analisis CGS-CIMB mendapati Supermax, menduduki kedudukan paling rendah dari segi pasaran modal dalam kalangan 30 komponen KLCI setakat 24 Mei 2021. 

 

"Berdasarkan data Bloomberg setakat 24 Mei (yang akan digunakan untuk semakan seterusnya), kami mendapati dalam kalangan bukan komponen KLCI, Mr D.I.Y berada di tangga ke-20, yang mana ini akan melayakkannya dimasukkan ke dalam indeks utama selaras dengan peraturan asas indeks berkenaan. 

 

"Didapati juga tidak ada komponen KLCI yang jatuh ke tangga ke-36 dan bawah yang mana ia menunjukkan tidak ada syarikat akan dikeluarkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain Supermax, syarikat pengeluar utama sarung getah yang lain termasuk Hartalega dan Top Glove mencatat kerugian terbesar dari segi pasaran modal dalam semakan KLCI bertarikh 23 November 2020.

 

Sebaliknya, firma itu mendapati, Press Metal, Telekom Malaysia dan Genting Berhad merekodkan kenaikan terbesar pada tempoh berkenaan. 

 

Peraturan asas FTSE Bursa Malaysia menetapkan sekuriti akan dimasukkan dalam FBM KLCI ketika semakan berkala jika pasaran modal melonjak ke kedudukan ke-25 dan ke atas. 

 

Tetapi sekuriti boleh dikeluarkan daripada semakan berkala itu jika ia jatuh ke tangga ke-36 atau ke bawah. 

 

Selain daripada kedudukan pasaran modal, 2 kriteria lain yang perlu dipenuhi oleh syarikat untuk dimasukkan ke dalam KLCI adalah pengapungan bebas 15% ke atas dan kecairan.

 

FTSE Russell akan mengumumkan hasil tinjaun separuh tahunan yang akan datang untuk FTSE Bursa Malaysia Index Series pada 3 Jun 2021 (Khamis). 

 

CGS-CIMB berkata, semakan itu akan menggunakan data pasaran modal pada penutupan dagangan bertarikh 24 Mei 2021. 

 

Kesemua perubahan komponen ini akan berkuatkuasa pada 21 Jun 2021, Isnin.

 

Semakan ini akan diikuti dengan teliti oleh pasaran kerana ia boleh memberi kesan kepada produk berkaitan indeks KLCI seperti FTSE 30 ETF dan dana berkaitan indeks KLCI. 

 

Komponen KLCI ketika ini menyumbang 58% daripada jumlah pasaran modal setakat 21 Mei 2021.

 

Setakat 30 April 2021, sektor perbankan menyumbang nilai terbesar dalam indeks KLCI diikuti sektor penjagaan kesihatan, 13.9% manakala makanan dan minuman, 11.8%.

 

Sementara itu, mengenai keputusan prestasi kewangan bagi suku pertama, menurut CGS-CIMB, daripada 56 syarikat di bawah liputan firma itu, menunjukkan 32% daripadanya melaporkan kewangan yang mengatasi jangkaan manakala 21% pula di bawah jangkaan. 

 

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan memandangkan 57% (atau 75 syarikat) di bawah liputan kami belum lagi membuat laporan kewangan, sebaliknya akan berbuat demikian dalam tempoh 6 minggu akan datang," jelasnya. 

 

Firma itu menjangkakan, hasil korporat mungkin melemah pada suku kedua tahun ini jika prosedur operasi standard (SOP) terus diperketatkan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan. 

 

Buat masa ini, CGS-CIMB mengekalkan unjuran akhir tahun KLCI pada 1,699 mata. - DagangNews.com