KLCI positif dalam dagangan pagi Jumaat, saham Petronas Gas, Digi, MR DIY antara dahului kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI positif dalam dagangan pagi Jumaat, saham Petronas Gas, Digi, MR DIY antara dahului kaunter rugi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pasaran tempatan memulakan dagangan positif pagi ini di tengah-tengah kemelut politik dan juga jangkitan harian yang tinggi semalam mencecah lebih 20,000 kes.

 

Setakat 9.30 pagi ini, indeks utama FBM KLCI menokok 1.24 mata atau 0.08% kepada 1,497.02 mata meskipun dibuka rendah pada 1,494.9 mata.

 

Dengan 355.52 juta saham bertukar tangan bernilai RM155.6 juta, ia menyaksikan keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 232 berbanding 152 manakala 301 kaunter tidak berubah.

 

Menurut Bloomberg, pasaran saham Asia dilihat menjejaki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat susulan prestasi kukuh Wall Street apabila kebimbangan terhadap pertumbuhan akibat penularan varian Delta semakin berkurangan. 

 

Dalam kalangan saham aktif, Encorp Bhd. mendahului dagangan dengan 1.36 juta saham diniagakan pada harga 36.5 sen setelah menokok 4 sen. 

 

Selain itu, turut rancak diniagakan ialah saham YB Ventures Bhd. naik 7 sen kepada 63.5 sen diikuti Qes Group Bhd. menokok 0.05 sen kepada 89.5 sen. 

 

SAM Engineering & Equipment (M) Bhd. pula mendahului kaunter untung pagi apabila sahamnya diniagakan pada RM12.74. 

 

Ia meningkat 46 sen dengan 163,300 saham bertukar tangan setakat ini. 

 

Kaunter untung turut menyaksikan urus niaga saham Fraser & neave Holdings Bhd. yang tinggi pada RM25.80 setelah menokok 30 sen.

 

Saham Genetec Technology Bhd. juga diniagakan tinggi menokok 28 sen kepada RM23.60.

 

Sebaliknya, saham Digi.Com Bhd. mendahului dagangan rugi dengan susut 7 sen kepada RM4.23 dengan 5,700 saham diniagakan. 

 

Ini diikuti dengan saham MR DIY Group (M) Bhd. susut 7 sen kepada RM3.31 dan Petronas Gas Bhd. merosot 10 sen kepada RM15.80. 

 

Selain itu, antara kaunter yang menjadi tumpuan hari ini termasuklah AirAsia Group Bhd, Comfort Gloves Bhd, Omesti Bhd, Power Root Bhd, Focus Dynamics Group Bhd, Mi Technovation Bhd dan T7 Global Bhd. 

 

Stella Holdings Bhd, Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT), Sentral REIT dan LPI Capital Bhd. juga berada dalam radar pelabur. - DagangNews.com