KLCI positif dibuka naik lebih 2 mata | DagangNews Skip to main content

KLCI positif dibuka naik lebih 2 mata

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Pasaran saham tempatan dibuka lebih tinggi, tidak menghiraukan pergerakan pasaran di Asia yang tidak menentu pada awal dagangan pagi ini. 

 

Setakat 9 pagi, indeks FBM KLCI mencecah 1,676.84, menokok 2.49 mata atau 0.15% daripada paras yang ditutup semalam, 1,674.35.

 

Dagangan positif di Bursa Malaysia mungkin didorong oleh lonjakan besar di pasaran global yang masih lagi dipengaruhi sentimen harapan pemberian pakej rangsangan di Amerika Syarikat (AS). 

 

Pasaran di Asia sebaliknya meletakkan kebimbangan terhadap prospek ekonomi dan perjanjian pasca Brexit yang membimbangkan.

 

Di Malaysia, para pelabur mungkin meletakkan harapan terhadap jangkaan pemulihan ekonomi negara memasuki tahun hadapan. 

 

Semalam, laporan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi memasuki tahun 2021 berkembang sehingga 6.7% dengan penguncupan 5.8% pada tahun ini. 

 

Ini akan bergantung kepada kejayaan negara untuk mengekang gelombang ketiga penularan COVID-19 dengan pelaksanaan vaksinasi besar-besaran yang berkesan. 

 

Dalam masa sama, saham-saham yang menguntungkan di Bursa Malaysia selepas COVID-19 mula mereda menjadi pilihan pelabur ketika ini. 

 

Baca : Saham menguntungkan selepas COVID-19 jadi pilihan - CGS CIMB

 

Seperti saranan para penganalisis pasaran dan ekonomi, pelabur digalakkan untuk mula ‘memegang’ atau membeli saham-saham yang akan melonjak semula sejurus sempadan negara dibuka semula. 

 

Antara saham-saham yang menjadi pilihan pelabur adalah berkaitan hartanah, kewangan, pengguna dan tenaga. - DagangNews.com