KUALA LUMPUR 25 Mac- Kebimbangan terhadap kes jangkitan COVID-19 di peringkat global yang kemungkinan menyebabkan perintah berkurung dilanjutkan di Eropah merupakan antara faktor menyaksikan pelabur masih mengambil langkah berhati-hati.
Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI petang ini kembali jatuh di bawah paras 1,600 mata apabila ditutup 4,67 mata lebih rendah kepada 1,597.73 mata.
Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 580 berbanding 429 manakala 469 kaunter tidak berubah.
Jumlah dagangan sebanyak 6.01 bilion bernilai RM3.04 bilion.
Dalam kalangan kaunter aktif hari ini, Berjaya Corporation (BCorp) paling mencuri tumpuan dengan merekodkan kenaikan 6.9% kepada 31 sen sesaham ketika mengakhiri dagangan.
Malah, menurut Bloomberg, saham BCorp mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir 3 tahun selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jalil Rasheed yang baru dilantik 16 Mac lalu memperoleh 70 juta saham dengan harga 28 sen sesaham, semalam.
Kepentingan itu, yang bernilai RM19.6 juta, adalah sama dengan jumlah saham yang dijual oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif BCorp, Tan Sri Vincent Tan.
Sementara itu, Public Bank Investment Bank Bhd. dalam nota kajian berkata, bursa tempatan menanti petunjuk daripada trend penurunan ekuiti global, termasuk pengukuhan dolar AS yang berlegar paras paras hampir 4 bulan tertinggi semalam.
"Pasaran saham Eropah pula ditutup hampir dua minggu rendah, manakala harga minyak melonjak selepas mengalami kerugian besar pada Selasa ekoran salah satu kapal kontena terbesar dunia terkandas di Terusan Suez," katanya.
Lapor Reuters, bagi beberapa pasaran saham lain, ia menyaksikan dagangan yang lesu berikutan penjualan saham teknologi China, meningkatkan kebimbangan berlakunya nyahsenarai daripada pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mengejutkan para pelabur.
Ketegangan geopolitik juga dilihat menambah kebimbangan pasaran selepas Korea Utama melancarkan dua peluru berpandu balistik berhampiran perairan Jepun.
Kebanyakan pasaran mata wang serantau juga lemah dalam dagangan hari ini berbanding dolar AS, apabila mata wang utama itu mencecah paras 4 bulan tertinggi.
Malah, dalam dagangan 10 pagi tadi, ringgit susut 0.22% kepada RM4.1380 berbanding dolar AS, kemerosotan paling tinggi dalam kalangan mata wang Asia yang lain.
Ini disebabkan dolar AS mengukuh di tengah-tengah kebimbangan gelombang ketiga COVID-19 dan kemungkinan kenaikan cukai di AS yang berpotensi menyebabkan inflasi berterusan.
Petang ini, ketika ditutup ringgit berada pada RM4.1410/1460 berbanding dolar AS, lebih rendah berbanding penutupan semalam pada RM4.1290/1320.
Tekanan ke atas tukaran mata wang asing dijangka berterusan dengan kaji selidik Reuters nenunjukkan pelabur meletakkan unjuran lemah terhadap mata wang Asia buat kali pertama dalam tempoh setahun. - DagangNews.com