Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 18 Nov. - Pasaran saham Malaysia menyaksikan sedikit penurunan didorong pasaran di Wall Street yang turut merudum.
Para pelabur di pasaran global mula bimbang akan kes COVID-19 yang kian meningkat, melebihi sentimen positif penemuan vaksin pandemik itu.
Setakat 9.19 pagi, KLCI mencecah 1,603.96, susut sebanyak 6.19 mata atau 0.28% daripada paras yang ditutup semalam iaitu 1,610.15.
Peningkatan kes COVID-19 dikhuatiri mencetuskan langkah perintah berkurung baharu di beberapa negara utama seperti di Eropah.
Sementara itu, Rakuten Trade Research menjangkakan kaunter sarung tangan getah berdepan tekanan penjualan saham yang berterusan.
Disebabkan itu, indeks pasaran Malaysia bakal menghadapi perubahan haluan pelaburan hari ini.
“Kami percaya KLCI yang telah melonjak lebih daripada 10% sejak awal bulan ini, mungkin sukar untuk mengekalkan paras ketika ini dengan 1,600 sebagai paras sokongan segera,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya hari ini.
Wall Street menyusut memandangkan para pelabur membuat keputusan untuk mengaut keuntungan selepas keputusan kukuh pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan berita vaksin yang positif.
Menurut Bloomberg, para pelabur berhenti sebentar daripada aktiviti perdagangan selepas melonjakkan pasaran saham ke paras tertinggi didorong penemuan vaksin.
Bagaimanapun, pengedaran suntikan vaksin secara meluas masih jauh dan kes jangkitan COVID-19 pula kian meningkat di AS serta Eropah. - DagangNews.com