GURUN 13 Nov - Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), mengumumkan inisiatif kelestarian terbaharu dengan penambahan 1,092 unit skuter elektrik, menunjukkan komitmen seluruh kumpulan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih bersih dan hijau.
Langkah itu merupakan hasil kerjasama dengan Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), pemasang MEV-1 PRO dan penyedia program pajakan DRB-Hicom EZ-Drive Sdn Bhd (Avis).
Majlis tersebut dibuat di kilang Modenas di Gurun, Kedah, pada Selasa, menyaksikan sebanyak 1,092 skuter elektrik Modenas MEV-1 Pro diserahkan kepada Pos Malaysia, yang juga kumpulan pertama daripada jumlah keseluruhan 5,000 kenderaan terbabit yang akan menggantikan motosikal yang sudah usang.
Selaras dengan matlamat Pos Malaysia untuk memodenkan pengangkutan penghantaran kepada sepenuhnya menggunakan elektrik menjelang 2030 dan mencapai emisi karbon sifar bersih menjelang 2050, e-skuter itu akan menyertai armada kenderaan elektrik sedia ada, termasuk 220 motosikal elektrik dan 143 van elektrik.
E-skuter MEV-1 Pro dibangunkan oleh Modenas mengikut keperluan Pos Malaysia.
Menggunakan skuter elektrik VMoto CPx dari China sebagai asas, ia diubah suai dari segi reka bentuk termasuk motor elektrik yang dipertingkatkan kepada 4.3 kW dari 3.5 kW, kitaran pengecasan yang lebih perlahan untuk mengurangkan penggunaan elektrik, serta kapasiti muatan yang lebih besar untuk keperluan penghantaran pos.
MEV-1 PRO menjadi pilihan utama bagi Pos Malaysia kerana ketahanannya yang luar biasa, kecekapan bateri dan direka untuk menangani beban berat dengan menyokong kapasiti keseluruhan hingga 250 kilogram termasuk berat penunggang sehingga 100 kilogram dan kargo sehingga 150 kilogram.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roslan berkata, MEV-1 Pro adalah skuter elektrik pertama yang dibangunkan oleh Modenas di era moden yang menggabungkan teknologi terkini.
"Motosikal elektrik MEV-1 Pro mencerminkan komitmen kami terhadap pilihan pengangkutan yang praktikal dan mesra alam untuk sektor B2B Malaysia. Kami teruja untuk menyokong perjalanan hijau Pos Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Modenas akan menyediakan penyelenggaraan dan servis yang menyeluruh untuk MEV-1 PRO melalui rangkaian pusat servisnya di seluruh negara, memastikan kebolehpercayaan dan penyelenggaraan yang dipermudahkan bagi pengendali armada.
Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao berkata, syarikatnya menggalas tanggungjawab untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan secara aktif berusaha untuk melakukan yang lebih baik.
Beliau berkata, pada Mac 2023, Pos Malaysia melancarkan peta Hala Tuju Kelestarian dengan hasrat untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, menjadikannya syarikat logistik pertama di Malaysia yang melakukan komitmen tersebut.
"Sejak itu, kami melaksanakan misi untuk menjadikan operasi lebih mesra alam dan lestari, sejajar dengan matlamat iklim negara yang lebih luas.
"Teras kepada perjalanan kami menuju ke pelepasan karbon sifar bersih adalah pengenalan dan peralihan kepada kenderaan elektrik, di mana kami mencapai kemajuan yang amat membanggakan," katanya. - DagangNews.com