Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Pasaran saham tempatan hanya mampu melonjak dalam jajaran yang terhad walaupun terdapat sentimen vaksin COVID-19 yang pada awalnya dijangka dapat menarik minat membeli tinggi.
Ketika dibuka pada 9 pagi ini, penanda aras pasaran ekuiti Malaysia, FBM KLCI hanya mampu menokok 3.21 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,570.46 kepada 1,573.67.
Esok, Malaysia bakal menyaksikan Program Imunisasi, kali pertama dilaksanakan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menjadi individu pertama di dalam negara untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI bakal menyaksikan lonjakan semula hari ini susulan penggantungan aktiviti jualan singkat harian telah dilanjutkan sehingga 29 Ogos depan.
“Oleh itu, kami percaya indeks penanda aras itu mungkin didagangkan dalam jajaran 1,580/90 hari ini.
“Harga minyak mentah akan meneruskan trend meningkatnya memandangkan mentah Brent sekali lagi berlegar melebihi paras AS$65 setong,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, ketidaktentuan ‘membelenggu’ Wall Street memandangkan sentimen mula kabur ketika kadar hasil kian meningkat.
Tambah Rakuten Trade, kadar hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) selama 10 tahun itu mencecah paras 12 bulan tertinggi, mencetuskan penjualan dalam kalangan saham pertumbuhan terutamanya sektor teknologi.
“Dow Jones Industrial Average ditutup 27 mata lebih tinggi melebihi paras 31,500 selepas didagangkan antara julat 400 mata sementara Nasdaq menyusut 2.5%.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan pasaran serantau akan menyaksikan lonjakan sederhana hari ini ekoran prestasi suram semalam,” jelas Rakuten Trade lanjut.
Bloomberg berkata, saham Asia dibuka lebih rendah hari ini dengan niaga hadapan ekuiti AS meningkat apabila pelabur menilai jangkaan pertumbuhan dan inflasi yang lebih pantas, sekali gus mendorong komoditi dan hasil bon. - DagangNews.com