KLCI terus dibuka tinggi dijangka cecah 1,630 | DagangNews Skip to main content

KLCI terus dibuka tinggi dijangka cecah 1,630

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Pasaran saham Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan apabila dibuka lebih tinggi hari ini. 

 

Setakat 9.02 pagi, FBM KLCI menokok 2.55 mata atau 0.16% mencecah 1,624.40 daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu iaitu 1,621.85.

 

Lonjakan itu mungkin didorong oleh dagangan Wall Street yang mencatatkan paras tertinggi baharu dipacu harapan pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.

 

Rakuten Trade Research berkata, pasaran serantau juga dijangka didagangkan positif hari ini.

 

“Di pasaran tempatan, FBM KLCI dijangka melonjak semula selepas indeks itu didagangkan dalam julat terhad berselang-seli pada Jumaat lalu. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras berkenaan mungkin menguji paras tertinggi tahun ini iaitu 1,630 pada dagangan hari ini.

 

“Sementara itu, minyak mentah Brent menghampiri paras AS$50 setong dan ketika ini berlegar melebihi paras AS$49,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut Bloomberg, pasaran Asia meningkat berdasarkan momentum baru-baru ini yang melonjak saham-saham AS untuk mencatatkan rekod baharu pada Jumaat lalu. 

 

Ini didorong oleh para pelabur yang mempertimbangkan prospek sokongan dasar dan tanda-tanda pelancaran vaksin semakin dekat. 

 

Pasaran Asia melonjak pada awal dagangan dengan niaga hadapan S&P 500 pula kekal stabil. 

 

Di AS, angka pembayaran gaji menunjukkan peningkatan yang kurang daripada apa diramalkan, sekali gus mencetuskan harapan terhadap pakej rangsangan lain. 

 

Dari segi perkembangan pandemik COVID-19, pegawai kesihatan AS berkata, semua rakyatnya yang inginkan vaksinasi boleh menerimanya pada suku kedua tahun hadapan dan bermula seawal Jumaat. 

 

Dalam pada itu, Trading Economics berkata, situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia akan terus mendominasi 'dada-dada’ akhbar dan media serta perjanjian perdagangan pasca Brexit. - DagangNews.com