KLCI terus melonjak didorong prospek pemulihan | DagangNews Skip to main content

KLCI terus melonjak didorong prospek pemulihan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Pasaran saham tempatan meneruskan lonjakan sejak Jumaat lalu untuk melepasi paras rintangan 1,600 dengan selesa pada dagangan pagi ini. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 4.18 mata daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,611.81 kepada 1,615.99. 

 

Bagaimanapun, dagangan pagi ini menyaksikan kaunter rugi iaitu sebanyak 266 mengatasi sedikit kaunter untung, 259. 

 

Antara saham yang merudum termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, Rapid Synergy Berhad, Greatech Technology Berhad, KESM Industries Berhad, Unisem (M) Berhad, Heineken Malaysia Berhad, UWC Berhad, ViTrox Corporation Berhad, D & O Green Technologies Berhad dan Frontken Corporation Berhad. 

 

Kaunter untung pula melibatkan saham-saham, antaranya Time Dotcom Berhad, Petronas Gas Berhad, Genting Plantations Berhad,  Cheetah Holdings Berhad, Magni-Tech Industries Berhad, Euro Holdings Berhad, Favelle Favco Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Axiata Group Berhad dan DiGi.Com Berhad. 

 

Di peringkat pasaran Asia, saham-saham bersedia untuk dibuka dengan mengukuh, kebanyakannya dibantu oleh prospek pemulihan selain rang undang-undang (RUU) pakej rangsangan di Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$1.9 trilion. 

 

Menurut Reuters, sentimen itu sekali gus mengakhiri sesi dagangan bercampur-campur di Wall Street setelah menyaksikan penurunan besar dalam saham teknologi.

 

Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen berkata semalam, pakej rangsangan di bawah Presidennya, Joe Biden mampu menyediakan sumber mencukupi untuk mendorong pemulihan ekonomi kukuh di negara itu.

 

Bagaimanapun, para pelabur masih tertanya-tanya sama ada pakej rangsangan itu akan membantu pertumbuhan global lebih pantas akibat pandemik COVID-19 atau menyebabkan ekonomi terbesar dunia itu meruap sekali gus mendorong kepada inflasi melampau.

 

Walaupun niaga hadapan pasaran membayangkan dagangan Asia dibuka lebih tinggi, namun pakar strategi pasaran utama di CMC Markets, Michael McCarthy berkata, ketidaktentuan masih lagi ada.

 

“Apa yang akan menentukan keputusan (dagangan) hari ini adalah keseimbangan antara perdagangan reflasi dan penjualan teknologi (saham),” katanya. - DagangNews.com