KLCI terus merosot, saham Serba Dinamik, Datasonic, DNeX, MPI pula rancak diniagakan | DagangNews Skip to main content

KLCI terus merosot, saham Serba Dinamik, Datasonic, DNeX, MPI pula rancak diniagakan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Minggu pertama Ogos memulakan dagangan lemah di bawah paras 1,500 mata selepas merosot pada Jumaat lalu, apabila memuncaknya ketegangan politik di negara ini.

 

Setakat 9.17 pagi ini, indeks utama FBM KLCI menokok 4.74 mata kepada 1,499.34 mata dengan 104.51 juta saham diniagakan bernilai RM38.93 juta.

 

Malacca Securities Research menjangkakan pasaran akan terus lemah minggu ini tanpa sebarang pemangkin baharu yang boleh mengukuhkan kembali sentimen. 

 

Katanya, sepanjang minggu lalu sentimen dilihat suram hingga menyaksikan jualan asing dalam tempoh 5 hari dengan pasaran jatuh pada Jumaat ekoran kebimbangan pelabur terhadap jangkitan harian COVID-19 dan situasi politik semasa. 

 

"Risiko penurunan mungkin berterusan minggu ini sementara pelabur akan memerhati paras sokongan pada 1,480 mata jika indeks utama berlegar di bawah 1,500 mata," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Setakat ini, menyaksikan 180 kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 114 manakala 243 kaunter tidak berubah. 

 

Serba Dinamik Holdings Bhd. mendahului kaunter aktif dengan 3.19 juta saham diniagakan. Sahamnya menokok 0.005 sen kepada 40 sen pagi ini.

 

Selain itu, saham Datasonic Group Bhd juga diniagakan aktif pada 49 sen setelah naik 0.03 sen diikuti Dagang Nexchange Bhd (DNeX) menokok 0.10 sen kepada 73 sen.

 

Bagi kaunter rugi untung, saham Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) memulakan dagangan tinggi pada RM45.60 setelah meningkat RM1.10.

 

Ia diikuti saham Nestle (Malaysia) Bhd. menokok RM1 kepada RM134 manakala KESM Industries Bhd. diniagakan pada RM13.80 naik 64 sen. 

 

Saham Quality Concrete Holdings Bhd. pula mendahului kaunter rugi dengan diniagakan rendah pada RM1.36 setelah susut 14 sen. 

 

Kaunter rugi turut menyaksikan saham Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Perstima) Bhd. susut 10 sen kepada RM3.75 diikuti Carlsberg Brewery Malaysia Bhd. susut 10 sen kepada RM21.12. 

 

Di samping itu, dagangan hari ini juga memberi tumpuan kepada Axiata Bhd., Kerjaya Prospek Bhd., Westports Holdings Bhd, Maxis Bhd. dan Unisem (M) Bhd. berdasarkan pengumuman korporat mereka Jumaat lalu. - DagangNews.com