KUALA LUMPUR 11 Sept - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi diiktiraf sebagai lapangan terbang paling tersambung di rantau Asia Pasifik, menurut analisis terbaharu yang dikeluarkan oleh OAG.
OAG, platform data industri pelancongan global, hari ini mengeluarkan Megahubs 2024 iaitu satu analisis pasaran 50 lapangan terbang antarabangsa yang paling tersambung di dunia.
Menurut OAG Megahubs, KLIA menduduki tempat kedua daripada 50 megahub lapangan terbang global teratas dengan 33,411 sambungan di seluruh dunia.
Selain itu, analisis juga menunjukkan KLIA adalah lapangan terbang paling tersambung di Asia Pasifik.
"KLIA tidak mempunyai volum sambungan tertinggi jika dibandingkan dengan beberapa hab terbesar dalam indeks itu, tetapi ia mempunyai nisbah sambungan yang tinggi ke destinasi yang disediakan.
"Ini telah meningkatkan kedudukannya, daripada tempat ke-12 pada 2019 dan tempat keempat pada 2023," katanya.
Sementara itu, OAG Megahubs melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) Air Asia adalah syarikat penerbangan yang dominan di lapangan terbang, mengendalikan 35% penerbangan di KLIA dalam tempoh 12 bulan hingga Ogos 2024.
Laporan itu juga menunjukkan KLIA merekodkan sebanyak 14,583 sambungan LCC dengan 137 destinasi.
OAG Megahubs berkata, Asia Pasifik adalah rumah kepada tiga daripada lima megahub teratas, Kuala Lumpur (KLIA), Tokyo Haneda (HND) dan Seoul Incheon (ICN).
Ketua OAG bagi Asia Pasifik (ASPAC), Mayur Patel berkata, Asia Pasifik meneruskan peningkatannya dalam kedudukan global.
"OAG Megahubs mencerminkan pemulihan yang semakin meningkat bagi perjalanan udara antarabangsa dan permintaan kukuh bagi perjalanan kos rendah di rantau itu," katanya.
Dengan tambahan empat megahub di Asia Tenggara (Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta, Indonesia;Lapangan Terbang Suvarnabhumi,Thailand; Lapangan Terbang Antarabangsa Manila,Filipina dan Lapangan Terbang Changi, Singapura).
Tujuh lapangan terbang di Asia Timur Laut (Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo Narita (NRT), Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Lapangan Terbang Fukuoka, Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun, Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital).- DagangNews.com