KLIA muncul lapangan terbang ke-9 terbaik dunia | DagangNews Skip to main content

KLIA muncul lapangan terbang ke-9 terbaik dunia

 

 

KUALA LUMPUR 19 Mei - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  menjadi lapangan terbang kesembilan terbaik di dunia dari segi kualiti perkhidmatan pada suku pertama 2021 bagi kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa), menurut satu kaji selidik seperti dilapor Bernama.

 

Dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa, KLIA merekodkan skor 4.99 daripada 5.00, meningkat daripada 4.98 pada 2020 dengan KLIA menjadi antara 10 lapangan terbang terbaik dunia berdasarkan hasil kaji selidik yang sama.

 

Menerusi kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd Salleh berkata, selain KLIA, usaha pihaknya dalam mempertingkatkan tahap perkhidmatan turut berhasil apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) turut mendapat pengiktirafan. 

 

Katanya, LGK dinamakan sebagai lapangan terbang ketiga terbaik dunia bagi kategori dua hingga lima mppa dengan mencatatkan skor 4.97 daripada 5.00 dalam kaji selidik ASQ pada tempoh yang sama.

 

Beliau berkata, pihaknya terus memanfaatkan tempoh tenang susulan sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik untuk melaksanakan pelbagai tindakan menambah baik pengalaman penumpang dan memastikan kesediaan lapangan terbang apabila trafik penumpang kembali meningkat kelak.

 

“Walaupun, mengalami penguncupan ketara trafik penumpang namun kami tidak cepat berpuas hati dalam usaha memastikan perkhidmatan dan kemudahan kami berada pada tahap terbaik.

 

“Hasil memberangsangkan daripada usaha komuniti lapangan terbang di KLIA dan LGK dalam melaksanakan langkah keselamatan dan memberikan perkhidmatan luar biasa ketika norma perjalanan baharu pastinya akan membantu memulihkan keyakinan penumpang,” katanya.

 

Penandaarasan ASQ bagi lapangan terbang dunia adalah dari segi kepuasan penumpang keseluruhan terhadap keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

 

Pada bulan lalu, jumlah pergerakan penumpang keseluruhan di lapangan-lapangan terbang Malaysia adalah kira-kira 2 juta bagi rangkaian lapangan terbang tempatan begitu juga aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul (ISG).

 

Mohd Shukrie berkata, sempadan negara masih ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan berikutan kes COVID-19 harian meningkat kembali baru-baru ini.

 

Bagaimanapun, pergerakan penumpang keseluruhan bagi rangkaian lapangan terbang tempatan pada April mencatatkan 630,000, iaitu hampir kepada peningkatan sebanyak 8% berbanding bulan sebelumnya.

 

Menurutnya, ini susulan daripada peningkatan operasi oleh syarikat penerbangan bagi sektor domestik dengan pertambahan 161 penerbangan mingguan atau pertumbuhan 19% daripada angka pada Mac 2021, di samping mengekalkan purata faktor muatan melebihi 57%. - DagangNews.com