Kluster kilang di Taiping adalah terkawal, kata Menteri Besar Perak | DagangNews Skip to main content

Kluster kilang di Taiping adalah terkawal, kata Menteri Besar Perak

IPOH 15 Julai - Penularan pandemik COVID-19 di Taiping boleh dikawal, kata Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

 

Menurut beliau, peningkatan mendadak kes positif baru pada Selasa lalu adalah berpunca daripada kluster kilang.


"Kluster tersebut boleh diuruskan kerana ia merupakan kawasan terkawal. Asrama-asrama pekerja juga kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD)," kata beliau, Rabu.

 

Selasa lalu, sebanyak 189 kes positif COVID-19 yang baharu dilaporkan di Taiping.

 

Sebanyak 181 kes diklasifikasi sebagai Kluster Jalan Ika, dengan jumlah kes terkumpul kini berjumlah 1,803 kes.

 

stats
Statistik kes COVID-19 pada 13 Julai lalu  menunjukkan terdapat 189 kes baru di Taiping.

 

PKPD di asrama pekerja kilang tersebut yang bermula 3 Julai lalu, dijadual tamat esok 16 Julai.

 

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menyasar untuk memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara tidak lama lagi.


“Kita bekerja keras sekarang untuk meningkatkan bilangan rakyat yang divaksin kepada 40% bagi kita memasuki Fasa Tiga.

 

“Kita perlu mengurangkan kes positif harian, dengan purata 156 kes sehari," tambah beliau.

 

Sementara itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Columbia Asia Taiping meminta penduduk sekitar daerah Taiping supaya memeriksa MySejahtera untuk mengesahkan temujanji vaksin masing-masing.

 

Pengurus Pemasaran hospital, Mohd Yazid Md Yunus berkata, minggu ini antara yang ramai bakal divaksin di PPV Columbia Asia Taiping adalah penduduk sekitar Taiping ini.

 

“Harap semua dapat bersiap sedia, sila lihat Mysejahtera masing-masing. Tolong juga lihat temujanji untuk ibu bapa yang sudah berumur,” katanya.

 

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi PPV Columbia Asia Taiping untuk pertanyaan lanjut di talian 05-820 8888. - DagangNews.com