KUALA LUMPUR 1 Dis - Cadangan penjualan anak syarikat utama KNM Group Bhd., Borsig GmbH bernilai 220.8 juta euro (RM1.03 bilion) gagal dimuktamadkan setelah kumpulan memutuskan untuk tidak melanjutkan rundingan lebih lama dari tarikh akhir pada 30 November 2022.
Menurut KNM, ia berikutan tarikh yang dipersetujui dalam perjanjian jual beli saham berkenaan telah dilanjutkan beberapa kali.
Katanya, tarikh itu telah berlalu tanpa memuktamadkan sebarang urus niaga kerana syarat-syarat yang berkaitan sebelum ini tidak dipenuhi.
"Lembaga pengarah ingin mengumumkan bahawa selepas beberapa perbincangan dan rundingan dengan pembeli, pihak lembaga pengarah tidak yakin dengan syarat yang dimuktamadkan, khususnya mengenai pembiayaan cadangan pelupusan, akan dipenuhi dengan cepat.
"Selepas pertimbangan sewajarnya terhadap semua aspek cadangan pelupusan, demi kepentingan terbaik syarikat dan pemegang kepentingannya, Deutsche KNM GmbH (DKNM) telah memutuskan untuk tidak melanjutkan tarikh berhenti lama cadangan pelupusan itu dan sebaliknya telah melaksanakan pengeluarannya di bawah penjualan saham dan perjanjian pembelian.
“Oleh itu, cadangan pelupusan ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
KNM pertama kali mengumumkan cadangan pelupusan Borsig oleh unit milik penuhnya, DKNM pada 24 Mei lalu kepada Vorsprung Industries GmbH — dahulunya dikenali sebagai GPR Siebzigste Verwaltungsgesellschaft mbH (GSV).
DKNM dan GSV telah menangguhkan tarikh tutup pelupusan itu dari 31 Oktober 2022 untuk memberi masa tambahan bagi memenuhi syarat-syarat perjanjian jual beli.
Menurut KNM, kumpulan akan mempertimbangan kaedah lagi bagi mengewangkan pelaburannya di Borsig, sama ada melalui penjualan kepada pembeli lain atau kemungkinan penyenaraian di mana-mana bursa saham lain.
"Kumpulan akan membuat pengumuman yang diperlukan dan/atau mendapatkan kelulusan pemegang saham, jika diperlukan menurut Keperluan Penyenaraian, apabila peluang baharu tersebut dikenal pasti," katanya. - DagangNews.com