KNM dapat kelulusan lembaga pengarah senaraikan anak syarikat di Catalist, Singapura | DagangNews Skip to main content

KNM dapat kelulusan lembaga pengarah senaraikan anak syarikat di Catalist, Singapura

KUALA LUMPUR 19 Jan - Lembaga Pengarah KNM Group Bhd. telah meluluskan cadangan penyenaraian anak syarikat milik penuh tidak langsungnya di Catalist. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, FBM Hudson Italiana SpA dan FBM-KNM FZCO yang dikenali sebagai kumpulan FBM, akan disenaraikan di papan seliaan penaja Singapore Stock Exchange melalui tawaran awam permulaan (IPO).

 

Katanya, penaja yang dicadangkan untuk pengapungan yang dicadangkan ialah PrimePartners Corporate Finance Pte. Ltd. (PPCF), yang akan bertindak sebagai penaja penuh, pengurus, penaja jamin dan ejen penempatan. 

 

"PPCF merupakan firma kewangan korporat yang berpangkalan di Singapura. Ia dilesenkan oleh Monetary Authority of Singapore untuk menyediakan khidmat nasihat kewangan dan penjanaan modal," katanya. 

 

Menurutnya, syarikat akan mengeluarkan maklumat selanjutnya berhubung IPO tersebut dan perkembangan lain selepas prospektus bagi cadangan penyenaraian itu dimuktamadkan. - DagangNews.com