Kok Thay dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi Genting Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kok Thay dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi Genting Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Tan Sri Lim Kok Thay memegang semula jawatan Timbalan Pengerusi Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) daripada kedudukannya sebelum ini sebagai Pengerusi firma itu.

Jawatan Pengerusi Genting Malaysia diganti oleh Tan Sri Alwi Jantan yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi di firma berkenaan. 

Genting Malaysia menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, lantikan kedua-duanya berkuatkuasa bermula semalam (27 Ogos 2020). 

“Kok Thay merupakan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Berhad. Beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif Genting Singapore Limited dan Genting UK Plc.

Baca : Pengerusi Genting ‘pertaruh’ hampir semua pegangan saham selamatkan syarikat pelayaran

“Sebelum ini, beliau memegang jawatan Ketua Eksekutif dan Pengarah Genting Plantations Berhad (GENP) sebelum melepaskan jawatan sebagai Ketua Eksekutif dan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif GENP pada 1 Januari 2019,” jelas Genting Malaysia.

 

Alwi Jantan
Alwi Jantan. - Gambar oleh MalayMail

 

Sementara itu, Alwi mula berkhidmat untuk Genting Malaysia sejak 1 Julai 1990 sebagai Timbalan Presiden Eksekutif - Hal Ehwal Awam dan Sumber Manusia dan dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif pada 2 Julai 2007 sebelum bersara pada tahun 2009.

“Alwi dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Genting Malaysia pada 10 Ogos 1990 dan memegang semula jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 1 Julai 2011.

“Pada 1 Januari 2019, Alwi telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Genting Malaysia,” tambah firma itu.  

Kok Thay yang berusia 69 tahun memegang sebanyak 24,973,544 saham, manakala Alwi, 85 memiliki 597,000 pemegangan saham di Genting Malaysia. - DagangNews.com