Kolej Tingkatan Enam yang pertama bakal dibina di Kelantan - Radzi | DagangNews Skip to main content

Kolej Tingkatan Enam yang pertama bakal dibina di Kelantan - Radzi

Datuk Dr Radzi Jidin (kiri) ketika mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Kerja Raya di tapak pembinaan Kolej Tingkatan Enam berkenaan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Kementerian Pendidikan (KPM) bakal membina Kolej Tingkatan Enam yang pertama di Kelantan.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kolej berkenaan bakal dibina di kawasan Bukit Cina yang bersempadan di antara Ketereh dan Machang.

 

Beliau berkata, kolej tersebut akan dilengkapi dengan 20 bilik darjah serta kemudahan lain sekali gus memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk mengikuti pendidikan peringkat lepasan menengah di premis kolej tingkatan enam yang lengkap.

 

"Ketika ini terdapat 23 Kolej Tingkatan Enam yang sedang beroperasi di seluruh negara dan kini Kelantan juga bakal mempunyai Kolej Tingkatan Enam pertama dengan premis dan pentadbiran sendiri.

 

"Kolej berkenaan dibina di lokasi strategik berhampiran jalan utama yang menghubungkan Kota Bharu dan Gua Musang.

 

"Pastinya pembinaan kolej ini dapat terus memacu kecemerlangan pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik demi anak-anak generasi pewaris negara, khususnya di Kelantan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

 

 

kpm

 

 

kpm
Tapak pembinaan Kolej Tingkatan Enam yang bakal dibina.

 

 

Terdahulu, Dr Radzi turut meninjau lokasi tapak pembinaan itu dan berterima kasih kepada pegawai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang memberikan taklimat. - DagangNews.com