KUALA LUMPUR 1 Dis - Kolej UNITI Port Dickson komited membantu kerajaan memartabatkan profesion eksekutif halal dan pengamal industri halal yang memainkan peranan penting dalam pematuhan pensijilan halal di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Md Isa berkata, penganjuran Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan 2022 (PEH22) merupakan manifestasi komitmen institusi pengajian tinggi berkenaan menyokong usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri.
Katanya, persidangan peringkat kebangsaan selama dua hari itu merupakan platform perkongsian idea dan bertukar-tukar pandangan secara eksklusif melibatkan pengamal-pengamal pensijilan halal daripada pelbagai industri.
“Melalui PEH22, eksekutif halal dan pengamal industri halal telah mendapat maklumat terbaharu mengenai hala tuju serta polisi kerajaan melalui sesi perbincangan panel melibatkan pelaksana dasar, pakar pelbagai bidang berkaitan halal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amir Hamzah yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur berkata, PEH22 dianjurkan secara bersama Kolej UNITI Port Dickson dan Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) selain mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri selain penglibatan syarikat-syarikat terkemuka tempatan.
Katanya, peserta PEH22 juga berpeluang mengikuti forum membabitkan pakar-pakar bidang berkaitan halal termasuk dari Institut Pertanian Bogor (IPB) University, Jawa Barat, Indonesia.
“Pada penghujung persidangan, PEH22 juga memberi peluang kepada eksekutif halal yang mengambil bahagian mengemukakan pandangan, isu dan cadangan berkaitan secara kolektif kepada penggubal dasar sekaligus memartabatkan profesion ini di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
“Resolusi ini kemudiannya akan diserahkan secara terus kepada pihak berwajib dan kita berharap eksekutif halal terbabit akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan,” katanya.
Pada persidangan sulung ini, seramai 20 panel terdiri daripada pegawai kanan agensi kerajaan berkaitan termasuk Jakim, Jabatan Agama Islam Selangor, Halal Development Corporation Berhad, syarikat-syarikat terkemuka dan industri tempatan telah mengambil bahagian.
Menurut Amir Hamzah, persidangan ini juga telah disertai para pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang berkaitan halal dan syariah sekaligus memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang serta hala tuju profesion eksekutif halal.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Sains Halal IPB University Bogor, Prof Dr Ir Khaswar Syamsu berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama bersama Kolej UNITI yang merupakan IPT pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian halal secara formal, Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013.
“Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi pendidikan tinggi akan berkongsikan kepakaran serta pengalaman sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global,” katanya. - DagangNews.com