Konflik Asia Barat: BNM sedia pastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur | DagangNews Skip to main content

Konflik Asia Barat: BNM sedia pastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 April - Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap.

 

Ini susulan konflik Israel-Iran yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan kerajaan memantau rapat perkembangan di Asia Barat, termasuk kesan kepada pasaran kewangan.

 

Menurut kenyataan bank pusat itu, operasi pasaran BNM akan memastikan mudah tunai yang memadai serta pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur. 

 

Katanya, hal ini disokong oleh inisiatif berterusan yang sedang dilaksanakan bersama syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), syarikat korporat dan pengeksport untuk terus membawa masuk aliran dan mudah tunai ke dalam pasaran pertukaran asing.

 

"Berikutan pernyataan oleh Perdana Menteri pada 14 April 2024, BNM ingin menyatakan bahawa BNM bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap," katanya hari ini.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media tersebut, BNM memaklumkan terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada turun naik atau volatiliti pasaran kewangan. 

 

"BNM telah mengadakan sesi libat urus dengan peserta pasaran kewangan, termasuk ketua operasi perbendaharaan, yang bersetuju bahawa sebarang ketidakpastian akan berkurang dan menjadi stabil apabila keadaan ketegangan geopolitik semakin reda," jelasnya.

 

Anwar berkata, kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

 

"Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia," kata Perdana Menteri dalam kenyataan semalam.

 

Kor Pengawal Revolusi Iran semalam dilaporkan telah memulakan operasi serangan dron, menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel.- DagangNews.com