JEMPOL 8 Okt - Konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021 yang lalu semakin menebal dalam jati diri masyarakat majmuk Keluarga Malaysia pada hari ini kerana konsep itu sendiri sangat dekat dengan rakyat.
Beliau berkata, Keluarga Malaysia menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga dan bersifat inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
"Idea yang dicetuskan ini bukanlah sekadar slogan atau retorik semata-mata.
"Lihat sahaja di Negeri Sembilan, pendekatan ini amat sinonim dengan rakyat di negeri ini yang terkenal dengan warisan budaya dan masyarakatnya yang berbilang suku tetapi hidup dalam suasana yang harmoni dan saling bantu-membantu antara satu sama lain," kata beliau semasa berucap melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Dengan Keluarga Malaysia kata Perdana Menteri, rakyat hidup dalam sebuah institusi keluarga yang sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah, memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela dan sebagainya.
Sudah pasti ujar beliau, jika ada antara ahli keluarga kita yang ditimpa musibah, ahli keluarga yang lain juga turut terasa tempiasnya, bak kata perbidalan orang lama Nogori “tercencang paur, tergerak andailah”. Tidak mungkin ada ikatan istimewa seperti ini dalam bentuk yang lain.
"Meskipun ada dalam kalangan kita yang berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, namun kita meraikan Keterangkuman, Kebersamaam dan Kesyukuran dalam menjunjung semangat Keluarga Malaysia sebagai sebuah negara bangsa," ujar beliau.
"Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sifat tasamuh atau toleransi juga amat penting sebagai alat dalam menyatu-padukan kita semua.
Perdana Menteri berkata, kemakmuran negara dapat dipertahankan melalui sifat tasamuh dengan cara menghargai, menghormati dan menerima perbezaan yang berlaku dalam masyarakat majmuk, seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika membangunkan kota suci Madinah.
"Sikap yang dituntut dalam Islam ini, bukan sahaja membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati, tetapi juga dapat mengelak daripada sebarang perbalahan yang sia-sia.
"Dengan bersendikan konsep Keluarga Malaysia dan tasamuh ini, segala perbezaan dan kepelbagaian yang dikurniakan Tuhan di bumi bertuah ini, mampu dirai dan dihargai oleh seluruh rakyat dengan hati yang terbuka.
"Usah dicemari keharmonian dan kedamaian yang kita kecapi hari ini dengan berita palsu dan provokasi melampau yang dilakukan oleh segelintir pihak yang cemburu atau mempunyai niat tertentu terutamanya di media sosial.
"Justeru, saya mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk terus Teguh Bersama sebagai sebuah keluarga yang kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com