Konsesi RM1.25 bilion projek NG999 diramal hanya beri keuntungan minimum kepada TM, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Konsesi RM1.25 bilion projek NG999 diramal hanya beri keuntungan minimum kepada TM, kata TA Securities

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Julai - Konsesi antara subsidiari Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Kerajaan Malaysia bagi melaksanakan projek Perkhidmatan Kecemasan Generasi Akan Datang 999 (NG999) yang bernilai RM1.25 bilion dijangka memberikan keuntungan secara minimum kepada Kumpulan itu.

 

TA Securities berkata, meski pun demikian, projek yang bakal dilaksanakan TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech) itu adalah perkembangan positif buat TM.

 

Kata firma penyelidikan itu, cumanya projek ini dijangka hanya memberi sumbangan pendapatan 0.9% daripada unjuran pendapatan keseluruhan TM bagi tahun kewangan 2025 (FY25).

 

"Secara keseluruhan, kami yakin TM akan dapat menjalankan konsesi ini dengan berkesan.

 

"Ini memandangkan rekod prestasinya yang terbukti dan pengalaman yang luas dalam MERS 999," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, TA Securities mengekalkan ramalan pendapatan TM bagi FY24, FY25 dan FY26 dengan saranan 'Beli'.

 

"Tiada perubahan kepada harga sasaran (TP) RM7.70 sesaham," jelas firma penyelidikan berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sistem panggilan kecemasan baharu Malaysia NG999 diperkenalkan, berteknologi AI

 

999
Majlis perjanjian projek NG999 antara Kementerian Komunikasi dan TM Tech semalam.

 

TM dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan telah memeterai perjanjian konsesi bernilai RM1.25 bilion dengan kerajaan untuk melaksanakan NG999 sebagai kesinambungan Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia 999.

 

TM berkata, anak syarikat milik penuhnya, TM Tech telah memeterai kontrak dengan kerajaan, yang diwakili oleh Kementerian Komunikasi, untuk melaksanakan NG999.

 

Di bawah perjanjian itu, TM Tech mempunyai hak untuk mereka bentuk, membangun, memasang, menguji, mentauliahkan, mengendalikan, mengurus dan menyelenggara Sistem NG999 dan menyediakan perkhidmatan NG999 kepada kerajaan.

 

“NG999 adalah untuk tempoh 12 tahun, bermula dari tarikh berkuat kuasa pada 2024, yang akan ditentukan oleh kerajaan, sehingga 2036,” kata kenyataan itu. - DagangNews.com