Konsortium Pertama Digital mohon lesen bank digital | DagangNews Skip to main content

Konsortium Pertama Digital mohon lesen bank digital

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 24 Mei - Pertama Digital Berhad membentuk konsortium yang pertama dengan Crowdo Holdings Pte. Ltd. bagi memohon lesen bank digital dari Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Ditubuhkan pada 2017 dan disokong pelabur terkemuka seperti Gobi Partners, Crowdo yang berpangkalan di Indonesia merupakan neobank atau bank digital yang dijana dengan enjin skor kredit kecerdasan pintar (AI) khusus bagi pasaran baharu muncul di ASEAN.

 

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, kerjasama ini membolehkan inisiatif bank digital Malaysia memberikan khidmat yang cepat kepada perniagaan tempatan yang berdaya maju sejak hari pertama.

 

Katanya, ia juga merupakan sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan penglibatan ekonomi dalam kalangan kalangan bidang perniagaan yang tidak diberi tumpuan selain menyelaraskan kerangka kerja yang ditetapkan BNM.

 

"Kehadiran Crowdo bukan hanya membawa pandangan yang berharga, tetapi kemampuan memberi pembiayaan yang produktif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di Indonesia tanpa sebarang sejarah kredit juga amat diperlukan," katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pertama Digital, tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, mendapat persetujuan pemegang saham yang luar biasa pada 21 Ogos 2020 dan menjadi tumpuan kerana beralih kepada sektor teknologi daripada perniagaan tekstil.

 

Sementara itu, Crowdo merupakan kumpulan pertama fintech yang dilesenkan sepenuhnya oleh Otoritas Jasa Keuangan Indonesia (Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan) untuk menyediakan perkhidmatan pembiayaan digital kepada PKS.

 

Lebih penting lagi, neobank ini memberi perkhidmatan kepada lebih 30 industri yang diceburi PKS dan mencapai 60% nisbah hutang tidak berbayar (NPL) lebih rendah berbanding sektor perbankan disebabkan kelebihan teknologi pembiayaan digital.

 

Penubuhan konsortium itu bertujuan mengendalikan pelanggan untuk meningkatkan celik kewangan dan hubungan antara bidang yang kurang diberi tumpuan. 

 

Bagaimanapun, difahamkan, Pertama Digital dan Crowdo di dalam proses untuk menandatangani dokumentasi konsortium.

 

Pada Februari lalu, BNM memaklumkan menerima kira-kira 40 permohonan daripada pihak yang berminat untuk mendapatkan lesen perniagaan perbankan digital setakat ini.

 

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata tempoh permohonan untuk mendapatkan lesen menjalankan perniagaan perbankan digital atau perniagaan perbankan digital Islam adalah sehingga 30 Jun ini.- DagangNews.com