KUALA LUMPUR 9 Dis - Saham Sapura Energy Bhd. muncul kaunter paling aktif diniagakan pagi ini, setelah kumpulan kembali mencatat untung pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022.
Pada 11.25 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 12.5% kepada 4.5 sen dengan 189.37 juta saham diniagakan menjadi nilai pasaran syarikat pada RM629.18 juta.
Sapura Energy mencatat untung bersih sebanyak RM10.18 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 berbanding kerugian bersih berjumlah RM669.34 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan dalam pendapatan adalah disebabkan oleh pengiktirafan yang lebih rendah bagi peruntukan untuk kerugian yang boleh dijangka, kos projek yang diiktiraf lebih rendah, susut nilai yang lebih rendah, bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha sama (JV), serta keuntungan pertukaran asing yang menggalakkan.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 12.4% kepada RM1.28 bilion daripada RM1.46 bilion berikutan hasil yang lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Menurut RHB Investment, di sebalik mencatatkan kerugian yang lebih kecil, aliran tunai operasi Sapura Energy bagi tempoh sembilan bulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23)kekal negatif pada -RM81 juta berbanding RM197 juta bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Nilai kontraknya susut 12% suku ke suku kepada RM6.8 bilion dengan penambahan nilai kontraknya kekal sebagai salah satu cabaran terbesar kepada kumpulan memandangkan akses terhad kepada jaminan bank dan modal kerja semasa fasa penstrukturan semula.
"Berdasarkan kepada regangan aliran tunainya, kumpulan akan meneruskan strategi untuk meneruskan kontrak dengan keperluan modal kerja yang lebih rendah.
"Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan pada penarafan saham kami, kerana pelaksanaan penyusunan semula hutang holistik dan ekuiti Sapura Energy, yang akan menjadi sangat cair, pada pandangan kami - tidak dapat dielakkan untuk mencari jalan keluar dari kemelut yang dihadapinya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Sapura Energy catat untung RM10.18 juta pada suku ketiga FY23 daripada kerugian RM669 juta
Firma itu masih berpendirian 'jual' terhadap saham Sapura Energy dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada 2 sen.
Kerugian teras bagi tempoh sembilan bulan FY23 sebanyak RM290 juta (selepas menyingkirkan keuntungan kadar tukaran sebanyak RM151 juta, penurunan nilai inventori RM20 juta dan keuntungan pelupusan segmen peralatan, loji dan hartanah (PPE) sebanyak RM9 juta) adalah berada dalam jangkaan RHB Investment merangkumi 69% manakala 59% bagi jangkaan Street.
"Kami menjangkakan Sapura Energy akan terus mencatat kerugian pada suku keempat FY23, ekoran ketidaktentuan dalam segmen E&C," jelasnya.
Sementara itu, Public Investment Research berkata, Sapura Energy merekodkan keuntungan sebanyak RM10.18 juta, disebabkan terutamanya oleh keuntungan pertukaran asing sebanyak RM151.3 juta dan item luar biasa lain berjumlah RM12.4 juta.
Tanpa faktor berkenaan, kumpulan merekodkan kerugian bersih teras sebanyak RM128.7 juta pada suku ketiga, melebarkan kerugian bersih terasnya dalam tempoh sembilan bulan kepada RM289.7 juta.
"Walaupun hasil merosot sedikit sebanyak 9.2% tahun ke tahun, kami menjangkakan untuk melihat prestasi keseluruhan dibantu oleh pembalikan kepada tuntutan dan ganti rugi tercair," katanya.
Menurutnya, operasi Sapura Energy masih tidak menentu terutamanya bagi segmen E&C disebabkan kontrak legasi yang kurang berprestasi baik.
Katanya, pelaksanaan projek dijangka kekal mencabar dengan mengambil kira persekitaran operasi yang tidak menentu.
"Namun, kami melihat keputusan kewangan adalah sejajar dengan jangkaan kerugian bersih kami bagi FY23 sebanyak RM717.4 juta dan RM500 juta bagi unjuran konsensus.
"Dalam pada itu, kami mengekalkan unjuran hasil bagi FY23 hingga FY25 memandangkan margin keuntungan dijangka kekal tidak menentu," katanya.
Firma itu berkata, beberapa projek dalam segmen E&C telah disemak atau ditangguhkan ke tahun hadapan berikutan kos bahan mentah yang tinggi.
"Kebimbangan kecairan juga menghalang usaha pemulihan Sapura Energy di samping menjejaskan pelaksanaan projek tertentu dan keupayaan untuk mengisi nilai kontraknya disebabkan akses terhad kepada jaminan bank dan kemudahan modal kerja semasa fasa penstrukturan semula," katanya.
Bagaimanapun, ia mengulangi pandangan 'neutral' terhadap Sapura Energy dengan harga sasaran tidak berubah pada 5 sen. - DagangNews.com