Kontrak sewa kapal Perdana Petroleum jana pendapatan masa depan Dayang - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kontrak sewa kapal Perdana Petroleum jana pendapatan masa depan Dayang - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mac - RHB Investment Bank (RHB Investment) berkata, kontrak-kontrak yang diraih Perdana Petroleum Bhd daripada Petronas Carigali bakal menjana pendapatan untuk Dayang Enterprise Holdings Bhd pada suku akan datang.

 

Menurut firma penyelidikan itu, segmen marin Perdana Petroleum berkemungkinan memberikan pertumbuhan pendapatan yang stabil, disokong oleh penggunaan yang lebih baik dan kadar sewa kapal harian yang lebih tinggi.

 

"Kami terus memilih saham Dayang yang merupakan peraih manfaat utama daripada peningkatan kegiatan penyenggaraan huluan dan permintaan kukuh buat kapal sokongan luar pesisir (OSV), sambil ia masih aktif menender dalam kitaran kontrak baharu," katanya dalam nota penyeldikan hari ini.

 

Dayang yang memiliki 64 peratus kepentingan dalam Perdana Petroleum mengumumkan bahawa ia telah memenangi lima anugerah kontrak iaitu empat lanjutan kontrak dan satu kontrak baharu yang diberikan oleh Petronas Carigali.

 

Tiga lanjutan kontrak berkenaan adalah untuk penyediaan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) manakala satu lagi untuk tongkang kerja penginapan (AWB).

 

ahts
Salah sebuah kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) Perdana Petroleum./Gambar hiasan.

 

Pemberian kontrak baharu pula melibatkan penyediaan AHTS termasuk anak kapal dan peralatan bernilai RM17.1 juta bagi tempoh 238 hari bermula daripada tarikh sijil sewa kapal.

 

Tempoh keseluruhan kontrak adalah antara 140 hari hingga 271 hari, berkuat kuasa sama ada dari November 2023 atau Januari tahun ini.

 

Nilai kontrak adalah antara RM8.3 juta hingga RM19.8 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perdana Petroleum terima 5 kontrak sewa kapal bernilai RM68 juta daripada Petronas Carigali

 

RHB Investment berkata, pihaknya diberi bayangan bahawa kadar sewaan harian adalah sebanyak RM33,000 hingga RM72,000, menunjukkan peningkatan kecil daripada kontrak-kontrak sebelum ini. 

 

"Pada pandangan kami, kadar ini masih lebih rendah berbanding kadar sewaan sekarang yang rata-ratanya melibatkan masa lebih pendek. Pihak pengurusan masih menjangkakan peningkatan pada kadar sewaan harian tahun ini akibat bekalan kapal yang terhad. 

 

"Kami positif dengan anugerah kontrak ini kerana ia memastikan keterlihatan pendapatan untuk suku akan datang. Kami dibimbing bahawa kadar sewa harian tersirat RM33,000 hingga RM72,000 menunjukkan peningkatan sederhana daripada kontrak sebelumnya," jelasnya.

 

Buku pesanan tertunggak Perdana Petroleum berjumlah RM250 juta pada Disember 2023.

 

Sementara itu, 14 daripada 15 kapalnya telah memperoleh kontrak selama satu hingga sembilan bulan. Sehingga 22 Februari, 10 kapal telah disewa dan 14 kapal akan disewa.

 

"Perdana Petroleum menjangkakan mencapai kadar penggunaan kapal 65-70 peratus pada FY24 dan menyasarkan untuk beberapa kontrak jangka panjang bagi memastikan keterlihatan pendapatan jangka panjang," kata firma itu.

 

RHB Investment mengekalkan saranan "Beli" ke atas Dayang Enterprise dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.95. - DagangNews.com