Kontraktor EPCC tempatan diunjur terima manfaat utama peningkatan struktur NETR - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kontraktor EPCC tempatan diunjur terima manfaat utama peningkatan struktur NETR - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - RHB Investment mengekalkan pendirian bahawa kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan solar (EPCC) tempatan akan menjadi penerima manfaat utama daripada peningkatan struktur Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

 

Katanya, NETR mengunjurkan 70% kapasiti RE akan dikuasai oleh solar dengan 58% daripada jumlah kapasiti terpasang, diikuti oleh hidro dan biotenaga pada 11% dan 1%.

 

Oleh itu, kapasiti solar PV berkemungkinan meningkat secara agresif pada kadar 14% pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kepada 57GW menjelang 2050.

 

"Pada masa yang sama, pengawal selia yang berkaitan akan membangunkan rangka kerja capaian pihak ketiga (TPA) dengan mekanisme yang telus bagi pengiraan merapatkan jurang permintaan-bekalan bagi tenaga hijau.

 

"Ia seharusnya membenarkan pemaju solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) untuk menjual lebihan kuasa kepada pembeli tunggal bagi menjana pendapatan tambahan dan akhirnya meningkatkan pulangan keseluruhan projek.

 

"Selain itu, pasara RE akan dilancarkan pada tahun ini bagi bertindak sebagai penanda aras pasaran dalam membolehkan penentuan harga dan memudahkan perdagangan rentas sempadan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, gas akan terus menjadi sumber bahan api dominan asas dan mereka percaya pengeluar tenaga bebas (IPP) seperti Tenaga Nasional Berhad dan Malakoff Corp Berhad akan melaksanakan pengembangan loji gas baharu pada masa hadapan.

 

Pengembangan loji gas itu adalah berikutan penutupan loji arang sedia ada.

 

Katanya, projek intensif perbelanjaan modal iaitu hidrogen dan projek penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) harus diterajui oleh syarikat besar seperti Petronas dan TNB manakala pasaran sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) masih belum diterokai.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor tenaga dan pilihan utama termasuk TNB, YTL Power dan Solarvest," katanya. - DagangNews.com