Kontraktor tidak bertanggungjawab jejaskan bekalan TNB | DagangNews Skip to main content

Kontraktor tidak bertanggungjawab jejaskan bekalan TNB

 

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Kerosakan kabel bawah tanah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akibat tindakan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab melakukan kerja-kerja pengorekan secara melulu kekal menjadi batu penghalang kepada usaha syarikat utiliti itu bagi menyalurkan bekalan tanpa gangguan.

 

“Walaupun beberapa langkah telah diambil TNB untuk mengelakkan gangguan bekalan ini daripada berulang, statistik kes gangguan elektrik melibatkan pengorekan pihak ketiga di Semenanjung masih tinggi di mana pada tahun lalu (2020) terdapat 459 kes gangguan bekalan yang menyebabkan ketidakselesaan kepada 499,000 pengguna berbanding 689 kes dan 530,000 pengguna pada tahun 2019,” kata Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB, Mohd Yusof Ibrahim.

 

Untuk lima minggu pertama tahun ini sahaja, lebih 45,000 pengguna telah terjejas akibat kerja-kerja pengorekan pihak ketiga.

 

Terbaharu ialah kes gangguan bekalan di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana, Ampang yang berpunca daripada kerosakan kabel TNB akibat kerja pengorekan oleh kontraktor pembinaan lebuh raya SUKE.

 

Menurut Yusof, siasatan TNB mendapati gangguan awal akibat kerosakan pada kabel TNB berlaku pada 1 Februari 2021. Malangnya, selepas pembaikan segera dilakukan, dua lagi kerosakan berasingan berlaku kepada laluan kabel TNB yang sama pada 2 dan 7 Februari, kesan daripada kerosakan pada 1 Februari.

 

“Dua lagi gangguan yang berlaku pada 2 dan 7 Februari memaksa TNB menyalurkan bekalan kepada pengguna melalui set janakuasa bergerak sementara kerosakan kabel diperbaiki,” jelasnya.

 

TNB juga telah mengambil beberapa tindakan terhadap kontraktor terlibat seperti menyerahkan notis Arahan Berhenti Kerja (Stop-Work Order) dan tuntutan balik kos pembaikan serta akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

 

“Kami memohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja-kerja pengorekan agar merujuk terlebih dahulu kepada TNB bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat bagi mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpama berulang.

 

“Semakan awal dengan kami boleh mengurangkan risiko berlakunya kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB, seterusnya mengurangkan gangguan bekalan,” kata Yusof.

 

Pihak kontraktor juga boleh memaklumkan kerja-kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my). Portal tersebut membolehkan kontraktor menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan yang bakal dilaksanakan kerja pengorekan.

 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan gangguan bekalan elektrik boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine. - DagangNews.com