KUALA LUMPUR 26 Mac - Kos mengerjakan haji tahun ini, meningkat kira-kira 9% daripada RM22,900 kepada RM25,000 bagi seorang jemaah haji, seperti dilapor Berita Harian.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, kadar bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara masih belum ditetapkan.
Ketika ini, bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009, manakala baki RM12,920 ditanggung Tabung Haji.
"Pelaksanaan haji tahun ini agak berbeza berbanding sebelum ini. Kos haji pada 2019 dan 2020 adalah sebanyak RM22,900.
"Namun, untuk tahun ini ada peningkatan. Selepas mengambil kira beberapa faktor, kos menunaikan haji tahun ini meningkat kepada RM25,000.
"Namun, peningkatan ini belum mengambil kira pelaksanaan peraturan baharu dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 dan sebagainya yang masih belum diketahui," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, perkara ini mungkin akan memberi impak kepada kos menunaikan haji. - DagangNews.com