Kos perolehan F-16 terlalu tinggi, Filipina masih pertimbang kemampuan untuk miliki pesawat baharu | DagangNews Skip to main content

Kos perolehan F-16 terlalu tinggi, Filipina masih pertimbang kemampuan untuk miliki pesawat baharu

Filipina perlu berbelanja besar jika inginkan pesawat F-16.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 3 Jan - Hasrat Filipina untuk memodenkan angkatan udaranya dengan perolehanan 12 buah pesawat tempur F-16 buatan Amerika Syarikat (AS) nampaknya sukar disebabkan faktor kewangan.

 

Washington sebelum ini telah meluluskan penjualan pesawat tersebut kepada Manila pada tahun 2021, malah turut menawarkan cadangan pembayaran.

 

Bagaimana pun, perolehan itu masih disifatkan sebagai terlalu mahal untuk dibiayai dalam jangka panjang selain dibimbangi boleh menggangu keperluan lain.

 

Justeru, antara penyelesaian yang sedang dipertimbangkan negara itu termasuk beralih kepada pembelian pesawat terpakai atau menerima bantuan kewangan daripada Washington.

 

Pesawat
Washington meluluskan penjualan 12 buah pesawat F-16 kepada Filipina bagi menggandakan keupayaan udaranya.

 

Apabila penjualan diumumkan pada Jun 2021, AS menganggarkan kos pesawat dan peralatan berkaitan sebanyak AS$2.43 bilion.

 

Angka ini lebih separuh daripada belanjawan pertahanan tahunan Filipina. 

 

Ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan selain wilayah maritim yang luas mendesak Filipina untuk memiliki pesawat tempur berprestasi tinggi.

 

Ini kerana pesawat-pesawat sedia ada tidak setanding untuk melaksanakan penugasan tersebut selain usia kebanyakan pesawat pula telah usang.

 

Pesawat
Perolehan pesawat tempur baharu Filipina adalah untuk menggantikan skuadron pesawat F-5E.

 

Filipina sebelum ini mengintai untuk mendapatkan pesawat F-16 terpakai dari negara ketiga seperti Denmark yang memiliki kira-kira 77 buah pesawat tersebut yang digunakan sejak tahun 1980.

 

Denmark menamatkan khidmat kesemua pesawat apabila beralih kepada pesawat tempur generasi moden, F-35.

 

Apa pun, sebarang keputusan untuk menjual pesawat F-16 Denmark masih bergantung kepada kelulusan AS sebagai negara pengeluar asal.

 

Selain Filipina, Turkiye juga berhasrat untuk mendapat sebahagian daripada pesawat-pesawat ini.

 

Pesawat
Pesawat F-16 Denmark.

 

Bagaimana pun, Jabatan Negara AS pada Oktober lalu telah meluluskan pemindahan pesawat F-16 sekutu NATO ini ke Argentina manakala sebahagiannya diberikan kepada Ukraine.

 

Sehubungan itu, Manila amat berharap bantuan kewangan diberikan Washington bagi membolehkan Filipina meneruskan rancangan untuk memodenkan tentera udaranya.

 

Perolehan pesawat tempur ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan Horizon 3 yang berlangsung pada 2023 hingga 2028.

 

Manila telah meluluskan peruntukan sebanyak AS$1.11 bilion bagi 12 buah pesawat.

 

Selain pesawat F-16, pesaing terdekat ialah Saab Gripen C/D buatan Sweden.

 

Pesawat
Pesawat Saab Gripen merupakan alternatif terbaik kepada Filipina.

 

Sweden sebelum ini dilihat bersungguh-sungguh melobi pesawat tersebut yang dilihat penting bagi mengukuhkan pasaran di luar Eropah.

 

Apa yang menarik ialah kesediaan Sweden untuk menawarkan pakej pembiayaan yang sesuai dengan Filipina manakala kos perolehan Saab Gripen juga berkali ganda lebih rendah berbanding F-16.

 

Selain mendapatkan pesawat baharu, Sweden juga bersedia menawarkan pesawat Saab Gripen terpakai untuk Filipina bergantung kepada apa yang dikehendaki oleh negara itu.- DagangNews.com