Kos perumahan tinggi di Shah Alam, antara isu tumpuan calon BN, Isham Jalil | DagangNews Skip to main content

Kos perumahan tinggi di Shah Alam, antara isu tumpuan calon BN, Isham Jalil

Isham Jalil semasa sesi bertemu pengundi di Pasar Seksyen 6, Shah Alam pada 6 November 2022.

SHAH ALAM 6 Nov - Isu pengangguran, kos perumahan yang semakin meningkat serta tidak seimbang dengan pendapatan penduduk Shah Alam menjadi perhatian untuk diperjuangkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

 

Calon muka baharu BN itu menyedari cabaran besar menantinya namun mahu terus berjuang bagi merampas kerusi yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) juga akan perjuangkan kecekapan sistem pentadbiran kerajaan negeri supaya tidak berlaku gejala rasuah.

 

"Saya mengambil peluang ini sebagai cabaran sebab pada saya kita tidak boleh bertanding di tempat kita selesa sahaja.

 

"Kita juga kena pergi menawan kubu kuat mereka (pembangkang)..saya diberikan tanggungjawab oleh parti untuk turun melawan antara kubu paling kuat PH..jadi saya ambil cabaran itu dan berjuang sampai BN menang.

 

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangkan kawasan ini supaya kita boleh berjuang untuk rakyat di sini..menukar dasar kepada yang lebih baik untuk rakyat di Shah Alam," katanya, menurut laporan Berita Harian.

 

 

isham jalil

 

isham jalil

 


Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, isu penduduk B40 serta infrastruktur di bandar raya Shah Alam turut menjadi antara fokusnya malah sudah mengenal pasti kawasan yang perlu diberikan perhatian termasuk Padang Jawa.

 

"Di situ juga ramai B40, bukan sahaja masalah ekonomi, masalah jalan berlopak, masalah air juga sistem perparitan. Apa yang boleh diselesaikan itu kita fokus dulu.

 

"Fokus saya untuk mencari penyelesaian kepada masalah, bukan mencari siapa bersalah. Kempen saya, kempen positif.

 

"Kita beritahu rakyat apa yang kita hendak buat bukan kempen negatif menyalahkan pihak lain, skandal, menuduh pihak lain. Jika mereka (parti lawan) tuduh, kita akan jawab," katanya.

 

Selain itu, selepas pandemik COVID-19, katanya, ramai golongan muda hilang kerja dengan kadar pengangguran mencapai 14 peratus.

 

"Sebelum pandemik COVID-19 sekitar 300,000 hingga 400,000 individu yang tiada kerja, sekarang mencecah lebih 700,000 orang sebab banyak kedai tutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - DagangNews.com