KPJ Healthcare tumpu kepada peluang berpotensi tinggi, dipacu transformasi digital | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare tumpu kepada peluang berpotensi tinggi, dipacu transformasi digital

KPJ Pahang merupakan satu daripada hospital milik KPJ Healthcare di seluruh negara.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Mei - Meskipun berdepan dengan cabaran ekonomi yang tidak menentu, KPJ Healthcare akan terus melaksanakan perancangan strategi bagi memastikan prestasi mampan syarikat berdasarkan keputusan kewangannya yang kukuh pada Tahun Kewangan 2021.

 

Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pertumbuhan syarikat akan bertumpukan kepada peluang-peluang yang berpotensi tinggi dalam mengoptimumkan operasi perniagaannya, dan pelaburan inovatif, yang akan dipacu oleh pecutan transformasi digital dan penyelesaian teknologinya yang akan dibangunkan untuk mencipta nilai kepada pesakit, pemegang saham dan pemegang kepentingan utama yang lain.

 

“Selain daripada mengoptimumkan proses dalaman dan penyampaian penjagaan kesihatan, kami juga akan meneliti semula perniagaan semasa dan portfolio pelaburan kami di dalam dan luar negara.

 

''Adalah penting juga untuk mengenal pasti peluang perniagaan baharu untuk pertumbuhan dan mengukuhkan kepercayaan antara pemegang saham dan pemegang
kepentingan kami.

 

“KPJ Healthcare mempunyai reputasi baik dalam menyampaikan rawatan kesihatan, penjagaan dan diagnosis yang canggih di negara ini dan untuk terus kekal relevan, kita mesti terus mengubah dan memperbaharui fokus kita,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Mohd Shukrie berkata, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan penumpuan beberapa trend dalam industri penjagaan kesihatan, terutamanya pengguna yang mengutamakan kemudahan dan akses kepada penjagaan.

 

Katanya, penyedia penjagaan kesihatan terkemuka melihat transformasi digital sebagai satu cara untuk menjadi lebih mesra pengguna sambil mengubah operasi, budaya
dan penggunaan teknologi mereka pada masa yang sama.

 

Walaupun transformasi digital ialah cara baharu untuk menyampaikan penjagaan, menambah baik proses dan memenuhi keperluan kesejahteraan pengguna, ini boleh mengambil masa yang ketara dan oleh itu memerlukan pendekatan yang bernas untuk memastikan penjajaran dengan matlamat akhir sambil turut menunjukkan nilai sepanjang perjalanan.

 

''Adalah penting bagi kami untuk melaksanakan pelan hala tuju transformasi digital kami dan menaik taraf Sistem Maklumat Hospital untuk memberikan pengalaman yang luar biasa untuk pesakit kami sambil meningkatkan keselamatan dan kecekapan pesakit,'' jelas beliau.

 

 

Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh
                                   Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh

 

 

Menurut Mohd Shukrie, kesan pandemik terhadap perniagaan KPJ di rantau ini selama dua tahun yang lalu ini telah dikaji dengan teliti dan memberi peluang untuk pihaknya menimba pengetahuan baharu menganalisis data yang tepat dengan lebih mendalam agar terus cekap dan responsif.

 

''Dalam persekitaran operasi baharu ini, kami akan menyusun semula perniagaan kami supaya dapat terus berkembang dengan mampan dan mencapai penjanaan nilai yang dijanjikan melalui kepelbagaian penyelesaian penjagaan kesihatan yang jelas dan berbeza yang ditawarkan kepada pasaran.”

 

KPJ Healthcare kini sedang giat menjalankan tinjauan strategik terhadap unit-unit perniagaan dan struktur korporatnya yang juga sebahagian daripada tindakan proaktif syarikat untuk memacu penjimatan kos dan meningkatkan kecekapan merentasi semua bahagian perniagaannya.

 

Usaha-usaha yang dilaksanakan termasuklah mengkaji data prestasi Syarikat untuk mengoptimumkan kos dan sumber-sumbernya, kecemerlangan operasi dan inisiatif penambahbaikan yang berterusan yang akan membolehkan KPJ Healthcare melabur dalam peluang-peluang yang memberikan pulangan yang berterusan bagi merangsang pertumbuhan Syarikat.

 

Kejayaan dalam ekonomi pasca COVID-19 kepada syarikat dan organisasi di pasaran adalah bergantung kepada kesediaan mereka dalam mengatasi jurang digital semasa, di mana inisiatif berasaskan teknologi dan digital mampu meningkatkan kecekapan operasi yang lebih efektif.

 

“Kami akan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan digital untuk menyediakan akses mudah penjagaan kesihatan yang unggul kepada pasaran, serta menceburi dalam menyediakan perkhidmatan dan inovasi baharu seperti perubatan ketepatan, dan kesejahteraan kesihatan,” kata Dato’ Shukrie. - DagangNews.com